KUCHING: Pelajar berusia 16 tahun yang didakwa terlibat dalam insiden mencederakan seorang guru di sebuah sekolah swasta di sini semalam, kini berada dalam tahanan polis dan tidak lagi berstatus pelajar aktif di institusi berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan pihak sekolah,Tunku Putra-HELP (TPH) menerusi kenyataan rasmi yang turut mengesahkan bahawa kejadian berkenaan masih dalam siasatan polis.
Menurut kenyataan itu, pihak sekolah akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.
Dalam kejadian semalam, seorang guru wanita dilaporkan cedera selepas seorang pelajar didakwa mencederakannya, sekali gus menyebabkan pihak sekolah segera mengaktifkan prosedur tindak balas kecemasan.
Guru berkenaan kemudian dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan semakin pulih tanpa mengalami kecederaan kritikal.
“Pihak sekolah turut memaklumkan bahawa pelajar yang berada di dalam bilik darjah terlibat berjaya mengosongkan kawasan kejadian, manakala tiada kecederaan lain dilaporkan.
“Susulan insiden itu, sesi persekolahan ditamatkan lebih awal atas nasihat polis sebagai langkah berjaga-jaga, dengan ibu bapa segera dimaklumkan supaya mengambil anak masing-masing,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, pihak sekolah mengumumkan penempatan tiga anggota polis bantuan di kawasan institusi berkenaan berkuat kuasa serta-merta sebagai sebahagian daripada langkah memperketat kawalan keselamatan.
Langkah tersebut turut merangkumi pemeriksaan keselamatan terhadap individu yang memasuki kawasan sekolah selain penelitian terhadap pelaksanaan langkah keselamatan jangka panjang yang lebih menyeluruh.
Pihak sekolah juga memaklumkan bahawa sesi persekolahan dijadualkan bersambung semula hari ini tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa berkaitan.
Selain itu, pasukan kepimpinan kanan sekolah akan mengadakan perhimpunan bersama pelajar bagi memberikan penjelasan mengenai kejadian tersebut, menangani kebimbangan mereka serta menyediakan sokongan kaunseling kepada yang memerlukan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, selain menghormati privasi individu yang terlibat bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan.




