ARTIKEL

Abang Johari merakam kenangan bersama barisan ADUN Sarawak selepas penangguhan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Abang Johari wajar dikenang sebagai Bapa Sarawak Moden – Penguang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg wajar dikenang sebagai Arkitek Sarawak Moden atau Bapa Sarawak Moden kerana membawa perubahan besar dalam aspek pembangunan, ekonomi dan kedudukan strategik negeri sepanjang kepimpinannya.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, pengiktirafan itu setimpal dengan pelbagai dasar, institusi dan aset strategik yang dibangunkan Abang Johari dalam tempoh berkenaan serta kesannya terhadap masa depan Sarawak.

“Sebagai penghormatan kepada seorang yang telah mendedikasikan kehidupannya dan melakukan begitu banyak sebagai pemimpin nombor satu Sarawak dalam tempoh yang singkat, adalah wajar beliau diangkat sebagai Arkitek Sarawak Moden atau Bapa Sarawak Moden.

“Legasi yang beliau tinggalkan akan mencipta satu lagi bab dalam sejarah pembangunan Sarawak moden, satu penanda aras yang tidak akan dilupakan generasi hari ini dan yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Usul Penangguhan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Beliau yang juga ADUN Marudi berkata, landskap sosioekonomi dan geopolitik Sarawak mengalami perubahan ketara sepanjang sedekad lalu, termasuk peningkatan hasil negeri lebih dua kali ganda kepada unjuran RM15.091 bilion pada 2027.

“Belanjawan Sarawak 2027 bernilai RM14.845 bilion turut memberi penekanan besar kepada pembangunan berorientasikan rakyat, khususnya kawasan luar bandar.

“Peruntukan pembangunan luar bandar melibatkan antaranya pembinaan jalan dan jambatan, bekalan air terawat, Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Sarawak (SARES), keterhubungan internet serta pelbagai kemudahan asas,” ujarnya.

Beliau turut menyenaraikan penubuhan Petroleum Sarawak Berhad, Bank Pembangunan Sarawak, Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak, Skim Pendidikan Tinggi Percuma dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain sebagai antara inisiatif penting yang dibangunkan.

“Pengambilalihan aset strategik seperti Empangan Hidroelektrik Bakun dan Pelabuhan Bintulu, penubuhan AirBorneo, selain pembangunan lapangan terbang baharu serta pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang turut antara inisiatif beliau.

“Dalam aspek ekonomi masa depan, usaha beliau meletakkan Sarawak sebagai hab tenaga boleh baharu hijau, petrokimia dan digital turut menyediakan asas kepada pertumbuhan sosioekonomi jangka panjang negeri,” katanya.

Tambahnya, usaha mendapatkan semula hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta Perlembagaan Persekutuan juga menjadi sebahagian penting dalam agenda pentadbiran negeri.

“Bagaimanapun, usaha memperjuangkan hak Sarawak tidak seharusnya disalah tafsir sebagai hasrat negeri untuk keluar daripada Persekutuan Malaysia.

“Tindakan sedemikian tidak semestinya menjadi penyelesaian kepada isu berkaitan MA63, Perlembagaan Persekutuan dan Laporan IGC,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, persidangan kali ini juga mempunyai makna tersendiri kerana mungkin menjadi persidangan terakhir bagi sebahagian ADUN sebelum pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-13.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ADUN atas komitmen, penyertaan, pandangan serta kritikan sepanjang perbahasan empat rang undang-undang dalam persidangan kali ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU