PANTU: Tiga projek pembangunan berskala besar yang sedang dirancang dan dilaksanakan di kawasan Pantu dijangka menjadi pemangkin utama kepada peningkatan jaringan perhubungan serta kemudahan awam, sekali gus membawa perubahan ketara terhadap kesejahteraan komuniti setempat.
Projek tersebut melibatkan pembinaan jalan penghubung dari Simunjan ke Kampung Tubal, Kampung Muding, Kampung Mentu dan Rumah Ipoh Ili/Ipoh Muding di Bahagian Samarahan.
Selain itu, kerja menaik taraf Jalan Pantu–Kerangas dan Jalan Engkeranji, serta pembinaan Pantu Square baharu di Bahagian Sri Aman turut dilaksanakan.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Snowdan Lawan, telah menghadiri sesi taklimat mengenai perkembangan terkini projek tersebut yang disusuli dengan lawatan tapak bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman, baru-baru ini.
Snowdan berkata, kerjasama erat serta penyelarasan berterusan antara semua jabatan dan agensi pelaksana amat penting bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual serta spesifikasi yang telah ditetapkan.
“Pelaksanaan yang cekap dan berkesan amat penting bagi menyokong agenda pembangunan luar bandar.
“Terutamanya dalam mempertingkat akses jalan raya, kemudahan awam serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Tambah beliau, projek-projek berkenaan dijangka dapat memperkukuh infrastruktur asas di Pantu.
“Apabila siap sepenuhnya kelak, projek ini dijangka memberi kesan langsung terhadap peningkatan kualiti hidup penduduk.
“Bahkan, ia mampu merangsang pembangunan sosioekonomi kawasan sekitarnya,” ujarnya.
Sesi taklimat tersebut turut memberi tumpuan kepada status semasa, kemajuan fizikal, garis masa pelaksanaan serta aspek teknikal projek, termasuk cabaran yang dihadapi bagi memastikan kelancaran kerja di lapangan.


