MIRI: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membantu polis menahan tiga individu yang dipercayai mencuri 10 tong berisi minyak masak terpakai dari belakang sebuah kedai makan di Taman Tunku, di sini, pada 30 September lalu.
Kejadian kira-kira 1.25 pagi itu membabitkan dua lelaki dan seorang wanita yang dilihat membawa kesemua tong berisi minyak masak terpakai menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada hari sama kira-kira 11.51 pagi.
Menurutnya, pengadu mengalami kerugian dianggarkan RM400 akibat kejadian itu.
“Bertindak atas maklumat yang diperoleh serta hasil risikan dijalankan, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun bersama-sama dua wanita tempatan, masing-masing berusia 41 tahun.
“Ketiga-tiga suspek ditahan di Ara Mutiara Phase 1, Jalan Tunku Abdul Rahman, Miri, kira-kira 2.30 petang pada 3 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
ACP Mohd Farhan berkata, hasil tangkapan itu, polis berjaya menemukan semula sembilan daripada 10 tong milik pengadu, membabitkan tiga tong yang masih mengandungi minyak masak terpakai dan enam tong kosong.
“Polis turut merampas dua keping resit jualan minyak masak terpakai serta sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
“Ketiga-tiga suspek direman selama dua hari hingga 6 Oktober lalu dan kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, ACP Mohd Farhan memuji keprihatinan orang awam yang peka akan keselamatan harta benda serta memberi kerjasama kepada polis dalam membantu menangani kejadian jenayah.
Beliau berkata, PDRM Miri komited memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.



