KONTINJEN Malaysia meneruskan rentak cemerlang dalam acara wushu apabila berjaya menuai dua pingat pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada hari terakhir pertandingan di Sukan SEA Ke-33 Thailand 2025.
Daripada enam acara akhir pada kelmarin, Malaysia berjaya mendapatkan 5 pingat sekaligus menutup tirai di venue Bangunan Ratthaprasasanaphakdi dengan mengumpul tiga emas, satu perak dan tiga gangsa.
Pingat emas pertama pada hari terakhir pertandingan hadir menerusi acara Nandao wanita apabila Tan Cheong Min mempamerkan persembahan cemerlang untuk menjuarai acara berkenaan di pentas final.
Atlet negara itu mengumpul keseluruhan 29.263 mata hasil gabungan Nanquan, Nandao dan Nangun, sekali gus menewaskan wakil Vietnam, Dang Trang Phuong yang meraih 29.112 mata, manakala atlet Singapura Ong Xue Ling Kasandra membawa pulang pingat gangsa dengan 28.579 mata.
Seorang lagi atlet negara Pang Pui Yee menampilkan aksi konsisten untuk meraih pingat perak dalam ketegori Jianshu wanita.
Beliau mengumpul 29.139 mata untuk menduduki tempat kedua di belakang atlet Indonesia, Geraldine Patricia (29.266), manakala Lee Yin Shuen dari Singapura membawa pulang gangsa (29.055).
Pang Pui Yee dan Tan Cheong Min Terus konsisten dalam aksi seterusnya bersama Loh Yin Ting untuk hadiahkan pengat emas seterusnya dalam acara Duilian bersenjata wanita.
Trio wanita ini menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia dengan kutipan 9.730 mata, menewaskan Thailand (9.646) dan Myanmar (9.606) dalam final membabitkan enam negara.
Sementara itu, Malaysia turut menambah koleksi pingat menerusi Ti Bryan Kai Jie yang memenangi gangsa dalam acara Nangun lelaki.
Bryan mengumpul 29.225 mata untuk menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang atlet Brunei Roslan Adi Salih (emas, 29.329) dan Lim Yi Jie Randall dari Singapura (perak, 29.242) dalam final yang disertai 11 negara.
Satu lagi pingat pingat gangsa hadi dalam acara Duilian tanpa senjata lelaki selepas gandingan Shin Peng, Muhammad Danish Aizad dan Wong Zhi Hong menampilkan persembahan kemas pada pentas final yang berlangsung di Bangkok, hari ini.
Trio negara mengumpul 9.626 mata untuk menamatkan saingan di tempat ketiga, di belakang Indonesia yang memenangi pingat emas dengan 9.746 mata, manakala Myanmar meraih perak selepas mencatat 9.706 mata dalam final yang disertai empat negara. — ASYRAF HALIM



