SIAPA yang tidak mahu kenderaan berada di kedudukan paling depan ketika mengambil anak-anak balik dari sekolah?
Semua orang mahu.
Saya juga mahu.
Kalau boleh, kenderaan diberhentikan betul-betul di hadapan kelas anak, tetapi itu sangat mustahil.
Untuk itu, ada ibu bapa yang sanggup menunggu sejam lebih awal dari jam anak-anak keluar kelas, sama ada pada tengah hari atau petang.
Sebab, ibu bapa jenis ini tidak mahu berebut petak parkir kosong dengan orang lain yang akan datang kemudian.
Mereka ini betul-betul mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak sekolah ketika menghantar dan menjemput anak dari sekolah (pick-up/drop-off zone).
Mereka tidak akan memarkir kenderaan di zon untuk menurun dan mengambil pelajar.
Namun demikian, yang menjadi masalah apabila ada kenderaan ibu bapa yang secara sengaja diparkir di zon berkenaan.
Biasanya melibatkan ibu bapa atau penjaga yang lambat datang.
Asal ada sahaja ruang, di situlah mereka memberhentikan kenderaan sambil menunggu anak keluar dari kelas.
Kalau untuk tempoh satu ke dua minit itu mungkin tidak menjadi masalah, tetapi sebaliknya.
Kenderaan dimatikan, kemudian pemandu (ibu bapa atau penjaga) itu bergerak ke kawasan lain untuk mengambil anak.
Disebabkan itu, zon khas tersebut tidak dapat digunakan oleh ibu bapa lain yang masuk ke kawasan sekolah, pergi ke zon menurunkan dan mengambil pelajar, buka pintu, biarkan anak masuk dan kemudian terus bergerak.
Ini yang sewajarnya, bukan memberhentikan kenderaan itu di zon berkenaan.
Belum lagi yang memberhentikan kenderaan yang seperti tidak mengendahkan kenderaan lain di belakang.
Peliknya, apabila hon dibunyikan, mereka tetap tidak ambil peduli.
Mata tetap tekun menatap skrin telefon bimbit. Jika pun mereka perasan, ada juga yang enggan untuk berganjak.
Malah, ada yang seperti marah dengan orang lain yang membunyikan hon iaitu yang perlu menurun atau mengambil anak di zon berkenaan.
Saya yakin situasi ini antara yang sering dibincangkan dalam kumpulan WhatsApp ibu bapa di banyak sekolah.
Akan ada macammacam cadangan dan pendapat dikemukakan.
Malah, mereka yang melakukan kesalahan tadi dengan selamba menjawab seperti dia tidak bersalah.
Didik ibu bapa?
Seseorang yang saya kenal dalam kumpulan WhatsApp sekolah anak ada memberitahu yang dia tidak suka dan tidak setuju jika ibu bapa diajar secara “fizikal” tentang apa-apa yang mereka perlu buat ketika menghantar dan mengambil anak dari sekolah
. Katanya, “Kita sebagai ibu bapa sudah tidak perlu lagi diajar secara fizikal.
Kita sudah besar, sudah berkeluarga pun. Kita yang perlu mengajar anak-anak, bukan kita pula yang perlu diajar tentang sesuatu perkara”. Diajar secara fizikal maksud lelaki ini ialah memasang pagar khas, pengadang atau kon bagi memastikan ibu bapa tidak sewenang-wenangnya memotong kenderaan ibu bapa lain yang beratur awal untuk mengambil dan menghantar anak dari sekolah.
Situasi ini berlaku di banyak sekolah. Sekolah tempat anak saya bersekolah pun demikian.
Bukan sekali dua kenderaan ibu bapa yang beratur panjang untuk masuk ke kawasan sekolah dilihat dipotong oleh kenderaan lain yang datang kemudian.
Situasi ini juga sering dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp.
Ada yang lebih berani bertindak merakam gambar kenderaan berkenaan, termasuk nombor plat yang kemudian dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp sebagai pengetahuan, dan teguran kepada pelaku tadi.
“Barisan kita yang dipotong, kita yang kena jeling. Siapa yang salah sebenarnya?” soal seorang kawan.
Dia sangat hairan dengan situasi itu.
Yang peliknya, apabila barisan kenderaan dia yang kena potong, dia juga yang menjeling.
Bukankah itu semacam balasan?
Dan disebabkan itu, pernah berlaku pertengkaran antara dua bapa.
Saya pernah menyaksikan situasi ini.
Nasib baik sempat dilerai oleh orang lain.
Nasib baik juga berlaku di luar pagar sekolah.
Dan nasib baik juga tidak disaksikan oleh pelajar-pelajar sekolah.
Kalau tidak, sudah tentu itu boleh memberikan pengajaran negatif kepada pelajar.
Seperkara lagi, ada dalam kalangan ibu bapa yang seperti enggan untuk memarkir kenderaan di dalam petak parkir, sebaliknya diletak di luar petak.
Sebabnya, dia tidak mahu kenderaan lain diparkir di depan kenderaannya.
Susah untuk dia hendak keluar.
Oleh sebab itu, akan ada banyak petak parkir yang tidak terisi.
Belum lagi yang dengan selamba memarkir kenderaan di depan kenderaan orang lain.
Dan, dengan selamba juga dia keluar dari kenderaan dan pergi ke lokasi tertentu untuk mengambil anak.
Ada yang memakan masa yang lama
. Ini menyebabkan pemilik kenderaan yang dihadang tadi membunyikan hon.
Ini sebenarnya sangat mengganggu.
Pertama, hon tadi mengganggu sesi persekolahan, dan yang kedua boleh menyebabkan ibu bapa dan penjaga bermasam muka.
“Minta tuan punya kereta alihkan kenderaan.
Saya nak keluar.
Saya juga perlu bergegas ke pejabat!”
Ini antara perkongsian di WhatsApp. yang anehnya, tanpa rasa bersalah atau mengangkat tangan meminta maaf, dia boleh bergerak begitu sahaja.
Muka dia pula yang masam, seperti tidak puas hati dengan orang lain.
Penyelesaian
Semua masalah ini berlaku di semua sekolah.
Mungkin juga ini boleh dianggap sebagai “buli ibu bapa”.
Pelaku ibu bapa, mangsa juga ibu bapa.
Jika benar, mungkin wujud pula isu “buli ibu bapa”.
Dan, ia pasti sangat membimbangkan.
Masalah ini hanya dapat diatasi oleh ibu bapa atau penjaga pelajar itu sendiri.
Bukan orang lain.
Pihak sekolah hanya boleh menyediakan prosedur dan peraturan menghantar dan mengambil anak
. ”Selebihnya, ia menuntut pematuhan prosedur ibu bapa ketika berada di kawasan sekolah.
Selain itu, ibu bapa perlu faham keperluan penyediaan zon menurun dan mengambil pelajar.
Ia bukan tempat untuk memarkir kenderaan! Sebaik-baiknya parkir kenderaan di kawasan khas yang disediakan oleh pihak sekolah.
Dan, jangan meletak kenderaan di hadapan kenderaan orang lain.
Seperti juga kita yang perlu segera keluar dari sekolah untuk masuk semula ke pejabat, kita perlu faham orang lain juga sedemikian.
Jangan pentingkan diri! Ini kerana kadang-kadang ada ibu bapa atau penjaga sebagai antara orang terawal datang ke sekolah, dia juga menjadi antara orang terakhir keluar dari sekolah, disebabkan kenderaannya dihadang oleh kenderaan lain (double parking) yang tiada pemandu di dalamnya.
Seterusnya, patuh arahan pengawal keselamatan sekolah tentang pergerakan kenderaan di kawasan sekolah.
Jika diminta untuk mengalihkan kenderaan, alihkan dengan segera demi kebaikan semua.
Kadang-kadang keengganan untuk beralih ini menyebabkan kesesakan teruk di pintu pagar keluar dan masuk ke sekolah.
Kesannya bukan setakat dialami ibu bapa dan penjaga, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.
Semua ini menuntut kerjasama, kesabaran dan keprihatinan ibu bapa.
Jangan apa-apa yang kita lakukan ini diambil contoh oleh anak-anak kelak.
Bertimbang rasa untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan semua.



