KUCHING: Tindakan awal perlu diambil bagi menghadapi cuaca yang tidak menentu, terutamanya aktiviti berkaitan pelayaran bot, dengan menyediakan perkakas keselamatan yang mencukupi sebagai langkah berjaga-jaga.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata pada masa kini cuaca yang tidak menentu menuntut tindakan awal yang perlu diutamakan.
“Kawasan saya sendiri banyak yang masih menggunakan bot.
“Oleh sebab itu, sekiranya kita menaiki bot, harus melakukan tindakan awal dengan menyediakan perkakas-perkakas keselamatan yang mencukupi sebagai langkah berjaga-jaga.
“Ini kerana, kita tahu perkara-perkara yang tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitrinya di Demak Jaya, hari ini.
Jelas beliau, pihaknya mengambil langkah awal sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya insiden yang tidak diingini.



