KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara memandang serius isu penghinaan berbaur perkauman yang berlaku melalui aplikasi penghantaran makanan baru-baru ini dan menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap individu yang terlibat.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata insiden tersebut bukan sahaja mencemarkan nilai kesopanan dan kesusilaan masyarakat, tetapi juga boleh menggugat keharmonian antara kaum di negara ini.
“Insiden ini amat mengecewakan. Tindakan seperti ini tidak boleh diterima dan perlu dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa syarikat penghantaran makanan terlibat untuk mengambil tindakan disiplin tegas terhadap individu terbabit serta memperketat garis panduan tatakelakuan pekerja mereka.
Dalam masa yang sama, kementerian menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memupuk sikap saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
“Tiada tempat dalam negara ini untuk sebarang bentuk diskriminasi, kebencian, atau perkauman. Saya percaya bahawa insiden ini adalah tindakan individu dan bukan gambaran keseluruhan masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, semua pihak bertanggungjawab untuk membina sebuah negara yang lebih inklusif, aman, dan bersatu.



