KUCHING: Penemuan dua pesawat pejuang dari zaman Perang Dunia Kedua, yang dipercayai berada di kawasan Lawas, kini masih dalam kajian terperinci.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, laporan lengkap daripada pihak muzium perlu terperinci sebelum sebarang kesimpulan dibuat, bagi memastikan ketepatan maklumat asal usul pesawat tersebut.
“Soalan seperti siapa yang membawa pesawat itu, bagaimana ia terhempas, adakah ia ditembak, atau jatuh dengan sendirinya, semuanya masih dalam kajian,” katanya.
Bagaimanapun katanya tiada jangka masa khusus ditetapkan bagi penyelidikan ini, memandangkan kajian seperti ini memerlukan ketelitian dan penelitian mendalam.
Karim mendedahkan bahawa penemuan dua pesawat berkenaan dipercayai terdiri daripada sebuah pesawat Amerika dan sebuah pesawat Jepun. Justeru, kementeriannya akan bekerjasama dengan pihak kedutaan hanya selepas maklumat sahih diperoleh.
“Kajian ini, juga merupakan usaha untuk menghormati sejarah serta mengenang kemungkinan juruterbang yang terlibat dalam insiden tersebut,” jelasnya.
Karim turut mengakui bahawa penduduk tempatan di kawasan berkenaan berharap penemuan tersebut dapat dipelihara sebagai tarikan pelancongan, selain menjadi bahan sejarah penting untuk dipamerkan di muzium.
“Dari perspektif muzium pula, ia juga sesuatu yang berharga untuk dipamerkan sebagai peninggalan Perang Dunia Kedua,” ujarnya.
Terdahulu, tular berita perihal tinggalan jet pejuang Jepun dikenali sebagai ‘Zero’ dari zaman Perang Dunia Kedua yang ditemui di sempadan Sabah dan Sarawak di Lawas.





