KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti garis panduan baharu berkaitan galakan penggunaan pelitup muka di sekolah bagi mengelakkan penularan Covid-19 (varian Arcturus) meskipun keadaan masih terkawal.
Itu antara perkara yang dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak itu di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia semalam.
Selain itu, Abang Johari dan Zaliha juga saling berkongsi pandangan dan harapan berkaitan perincian ke atas Pusat Kanser Negara.
Pada masa sama, Zaliha memberitahu kementeriannya turut memberi fokus terhadap kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri bagi mempertingkat lagi perkhidmatan kesihatan terutama berkaitan kapasiti kakitangan agar penyampaian perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada masyarakat.
Zaliha juga memaklumkan bahawa usaha penjagaan kesihatan keluarga dan kempen- kempen kesedaran merupakan tanggungjawab utama kementeriannya, di samping berhasrat menambah baik fasiliti kesihatan atau pembinaan hospital baharu. – JaPen


