KOTA SAMARAHAN: Institusi pendidikan di Sarawak digalakkan untuk memperkembangkan program psikologi dan kaunseling bagi memastikan aspek kesihatan mental pelajar dapat ditangani secara menyeluruh.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pelajar khususnya mereka yang baru memasuki alam pendidikan tinggi antara yang perlu diberi tumpuan.
Katanya, situasi keperluan terkini telah pun berubah dan dijangka memberi cabaran yang lebih besar dari segi kewangan dan kemudahan penempatan terhadap keluarga yang tidak berkemampuan.
“Ada beberapa faktor yang dikenal pasti punca pelajar baharu ini mengalami tekanan mental seperti rindu kepada keluarga, masalah kewangan, tidak mendapat penginapan sedangkan mereka tahu keluarga bukan dari golongan berada, itulah yang menjadi kerisauan kita.
“Apabila sudah memasuki alam pendidikan tinggi, pelajar itu sendiri kena bijak menguruskan kewangan untuk memastikan kelangsungab hidup dalam mendepani setiap cabaran yang bakal dihadapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sempena Bulan Psikologi dan Kaunseling Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) 2023 Berusaha Ke Arah Sokongan Emosi dan Psikologi (STEPS) di Dewan Gemilang UNIMAS, hari ini.
Program julung kali diadakan oleh UNIMAS bertemakan ‘Minda Madani Masyarakat Harmoni’ dihadiri oleh 600 peserta terdiri daripada pelajar dan staf UNIMAS secara fizikal manakala lebih 1,000 difahamkan menyertai program secara dalam talian.
Justeru tegas Fatimah, langkah awal menerusi program terbabit khususnya kepada para pelajar ambilan baharu itu perlu dijadikan contoh kepada institusi-institusi lain.



