KUCHING: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak kini meneliti semula pendekatan serta strategi pelaksanaan program perintis selama 24 bulan yang melibatkan penyelenggaraan bekas jalan balak di kawasan Baram.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, usaha itu dijalankan bagi meningkatkan keberkesanan penyelenggaraan jalan luar bandar berhubung program perintis yang bermula sejak Jun 2024
“Walaupun pelaksanaan program ini sedang giat dipercepat, KKDW mengakui berdepan cabaran besar dari segi kekangan lokasi dan faktor geografi yang kompleks di kawasan terbabit,’’ katanya.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Uggah berkata, JKR Sarawak juga sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan penyelenggaraan jalan luar bandar, termasuk potensi pengambilalihan bekas jalan balak yang tidak lagi aktif serta jalan balak aktif daripada pemegang konsesi pembalakan.
Usaha ini bertujuan memastikan jaringan jalan luar bandar sentiasa berada dalam keadaan baik demi kemudahan dan keselamatan penduduk pedalaman.
Dalam perkembangan lain katanya, KKDW meluluskan peruntukan berjumlah RM988.16 juta bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf ke atas 11 projek jalan balak terbengkalai di Sarawak.
Daripada jumlah tersebut, satu projek berjaya disiapkan sepenuhnya iaitu Projek Naiktaraf Bekas Jalan-Jalan Balak di Negeri Sarawak (Fasa IV) yang terletak di Bahagian Sibu.
“Sebanyak tujuh lagi projek kini dalam fasa pembinaan, manakala tiga projek masih berada di peringkat prakontrak.
‘’Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan kemudahan asas dan jaringan jalan luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman yang pernah menjadi laluan aktiviti pembalakan,’’ ujarnya.



