MIRI: Pengambilan warga asing secara berlebihan untuk bekerja di Sarawak berkemungkinan besar berisiko menyebabkan mereka memonopoli sektor ekonomi tempatan pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, justeru ia adalah penting bagi pekerja atau warga tempatan untuk melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan yang membantu memperkembangkan lagi bakat mereka.
“Meningkatkan kemahiran, mengasah bakat serta mempunyai kecekapan yang pelbagai dalam kalangan warga tempatan sangat digalakkan kerana ia adalah cara untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada pengambilan warga asing.
“Berdasarkan beberapa kajian yang dilaksanakan, ia menunjukkan bahawa pelaburan majikan dalam meningkatkan kemahiran pekerja mereka memberikan pulangan yang kukuh.

“Bagi membuat pelaburan yang berkesan, pihak berkepentingan perlu memahami dengan lebih baik tentang kemahiran yang wujud, serta permintaannya dalam pasaran buruh dan juga cara menyediakan kemahiran yang sesuai ke arah peluang pekerjaan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pembangunan Profesional Berterusan Industri (ICPD) di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) merupakan penggerak dalam pendidikan dan pembangunan modal insan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Visi kami bagi Sarawak adalah untuk mempunyai bakat berdaya saing yang memacu aspirasi negeri dengan misi memajukan bakat berdaya saing dan inovasif di negeri ini.
“Justeru, bagi merealisasikannya, ia perlu bermula dengan pendidikan berkualiti yang bermakna anak-anak mesti menamatkan perjalanan pendidikan mereka yang bermula dari peringkat pendidikan rendah hingga menengah dan juga pendidikan tinggi.
“Ini kerana hanya melalui pendidikan tinggi, kita boleh mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik dan seterusnya meningkatkan kehidupan diri serta keluarga kita,” ujarnya.





