Tingkatkan mental, fokus

KETUA jurulatih skuad Sarawak United C, Ahmad Fairuz Yunus menjelaskan aspek mental dan fokus para pemain perlu dipertingkatkan.

Menurutnya, para pemain kelihatan belum bersedia dari segi mental, malah mudah hilang fokus.

“Kita akan perbaiki mental dari semasa ke semasa, agar para pemain tidak muda berputus asa,” jelas Fairuz.

Malah katanya, fokus juga memainkan peranan penting, terutama ketika menghadapi perlawanan penting atau sengit, kerana sedikit kehilangan fokus akan membawa padah.

“Sejak menjalani latihan Disember lalu, para pemain sekarang ini berada pada tahap kecergasan yang baik, sudah mencapai 70 peratus.

“Namun kita akan tingkatkan lagi aspek fizikal dan kecergasan ini sebelum pertandingan bermula,” kata Fairuz.

Minggu lepas skuad Sarawak United C ini yang akan beraksi dalam Piala Presiden 2020 menentang pasukan Sarawak United A dalam aksi persahabatan.

Sarawak United A menang 3-0, dan ketiga-tiga gol dijaringkan pada babak kedua.

Menurut Fairuz, beliau menurunkan barisan utama pada babak kedua dan menukar pemain pada babak kedua.

“Kami akan ke Kuala Lumpur pada pertengahan Februari depan untuk menghadapi empat aksi persahabatan,” katanya.

Empat perlawanan tersebut membabitkan PJ City U21 pada 10 Febuari, Kuala Lumpur (12 Febuari), Negeri Sembilan U21 (14 Febuari) dan UKM (17 Febuari).

Menurut Fairuz, turut diberi penekanan ialah taktikal, serangan, pertahanan dan kecergasan.

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad Sarawak dalam kejohanan Piala Presiden ialah ke final pada 1998 (kalah kepada Kuala Lumpur).

Selepas itu sehingga tahun lalu, pasukan kedua ini gagal menyerlah.

Pencapaian terbaik hanyalah ke peringkat suku akhir.

Suara Sarawak