ARTIKEL

Steven mewakili Ahli Parlimen Bintulu melakukan simbolik perasmian Kejohanan Catur Cina (Xiangqi) Antara Pertubuhan 2026.

Tiong bimbang generasi muda terlalu bergantung kepada gajet

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan sebahagian generasi muda yang semakin banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar, gajet dan permainan dalam talian sehingga mengurangkan interaksi sosial secara bersemuka.

Beliau berkata perkembangan teknologi digital sememangnya membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat, namun penggunaan yang berlebihan boleh menyebabkan golongan muda menjadi semakin pasif dalam berkomunikasi dan kurang terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.

Menurut beliau, fenomena tersebut perlu diberi perhatian serius kerana ia bukan sahaja menjejaskan hubungan sosial, malah berpotensi memberi kesan terhadap perkembangan sahsiah, kemahiran komunikasi serta keupayaan berfikir secara kritikal dalam kalangan anak muda.

Steven melihat sebahagian peserta yang khusyuk bermain catur Cina atau Xiangqi.

“Teknologi adalah alat yang sangat berguna untuk pembelajaran dan pembangunan diri.

“Namun, jika tidak dikawal dengan baik, ia boleh menyebabkan generasi muda lebih selesa berinteraksi di alam maya berbanding bergaul secara langsung dengan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Catur Cina (Xiangqi) Antara Pertubuhan 2026 anjuran Pemuda Persatuan Chung Hua Bintulu dengan kerjasama Persatuan Xiangqi Bintulu di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Tugas-tugas Khasnya, Steven Kong Kai Seng.

Menurut Ahli Parlimen Bintulu itu lagi kecenderungan menghabiskan masa berjam-jam di hadapan skrin tanpa kawalan boleh menghakis nilai interaksi sosial yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang harmoni dan saling memahami.

Justeru, beliau melihat aktiviti berbentuk budaya, intelektual dan kemasyarakatan sebagai antara pendekatan terbaik untuk mengimbangi pengaruh teknologi dalam kehidupan seharian generasi muda.

Katanya, permainan Xiangqi atau catur Cina merupakan contoh aktiviti yang bukan sahaja mencabar minda, malah mampu menggalakkan komunikasi secara langsung serta mengeratkan hubungan antara pemain daripada pelbagai latar belakang.

“Di atas papan catur, pemain belajar membuat keputusan, mengatur strategi, menghormati lawan dan berinteraksi secara bersemuka.

“Nilai-nilai seperti ini amat penting untuk membentuk generasi yang matang dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata aktiviti seumpama itu turut membantu memupuk kesabaran, disiplin serta semangat kesukanan yang sukar diperoleh melalui interaksi maya semata-mata.

Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa, institusi pendidikan, pertubuhan belia dan badan masyarakat agar memperbanyakkan program yang dapat menarik minat golongan muda untuk melibatkan diri dalam aktiviti luar dan berinteraksi secara sihat dengan komuniti.

Menurut beliau, pembangunan generasi muda tidak boleh hanya tertumpu kepada pencapaian akademik atau penguasaan teknologi, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembentukan jati diri, kemahiran sosial dan nilai kemanusiaan.

Tiong turut berharap lebih banyak pertandingan Xiangqi, program kebudayaan, kesenian dan aktiviti komuniti dianjurkan di seluruh negara bagi menyediakan ruang kepada anak muda untuk membina hubungan sosial yang lebih kukuh.

“Apabila generasi muda aktif berinteraksi dalam masyarakat, mereka bukan sahaja dapat mengembangkan potensi diri, malah akan menjadi individu yang lebih seimbang dari segi intelek, emosi dan sosial,” katanya.

Tegasnya lagi, usaha memperkukuh interaksi sosial dalam kalangan generasi muda adalah penting bagi memastikan negara memiliki modal insan yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga kaya dengan nilai kemasyarakatan dan semangat perpaduan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Golf Senior Pacu Pelancongan Sarawak

Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) 2026 bakal kembali tahun depan selepas edisi sulungnya berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus membuka