SERIAN: Seorang penipu warga tempatan akhirnya menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana menipu wang seorang warga emas lelaki berjumlah RM2,000.
Mangsa ditipu dengan alasan wang itu untuk bapa tertuduh yang sakit di Indonesia.
Ifong, 56, berasal dari Lachau, Pantu, Sri Aman mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Razali.
Nursyaheeqa memerintahkan tertuduh menambah hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Berdasarkan fakta kes, sekitar jam 10.00 pagi 17 Disember 2024, semasa pengadu berusia 68 tahun berada di sebuah kedai kopi di Pasar Simunjan, dia didatangi tertuduh dan dua rakannya yang turut melepak di kedai berkenaan.
Rakan tertuduh bertanya kepada pengadu sama ada dia mengenali orang yang boleh mengendalikan jentera berat dan mereka saling bertukar nombor telefon.
Kemudian tertuduh memaklumkan kepada pengadu bahawa dia memenangi tiket loteri tetapi tidak dapat mengeluarkan wang tersebut daripada bank kononnya kerana dia warga Indonesia.
Dia meminta bantuan pengadu untuk mengambil wang tersebut di sebuah bank di Serian dan menjanjikan akan memberi pengadu sejumlah RM5,000.
Pengadu kemudian dibawa tertuduh dan dua rakannya menaiki sebuah kereta Perodua Viva ke Serian.
Setiba di Serian tertuduh memaklumkan bahawa bapanya di Indonesia sedang sakit dan memerlukan wang berjumlah RM2,000 untuk dikirimkan.
Pengadu yang bersimpati dengan nasib tertuduh lalu mengeluarkan wang simpanannya sebanyak RM2,000 dan memberikan wang tersebut.
Setelah mendapat wang terbabit pengadu lalu ditinggalkan di tepi jalan dan telefon bimbitnya turut diambil oleh salah seorang rakan tertuduh.
Laporan polis dilakukan oleh pengadu dan tangkapan terhadap tertuduh berjaya dilakukan pada 28 Disember 2024 di sebuah rumah di Matang.
Hasil siasatan mendedahkan tertuduh telah menipu wang pengadu berjumlah RM2,000 dan pengadu juga mengecam wajah serta kenderaan yang digunakan semasa kejadian.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



