TIDAK ramai yang tahu, ribut kencang sedang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR). Semuanya gara-gara pemilihan parti menggunakan sistem generasi baharu, berasaskan teknologi blockchain — dan menyaksikan begitu ramai muka lama tersungkur, dalam pemilihan di peringkat paling asas — peringkat cabang.
Antara nama epik yang terhumban termasuklah dua Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad dan K Saraswathy, selain Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim. Nik Nazmi yang merupakan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang Setiawangsa, apabila sekadar meraih 563 undi, tewas kepada pengarah serta pelakon Datuk Afdlin Shauki yang memperoleh 631 undi.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli gagal merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya apabila hanya memperoleh 791 undi berbanding pencabarnya Zamzizul Nordin yang meraih 1,905 undi. Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air. Akmal Nasrullah Mohd Nasir turut terhumban, gagal mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Johor Bahru selepas tewas kepada Mohamad Taufiq Ismail.
Pengarah Strategi PKR itu hanya memperoleh 587 undi berbanding 709 undi diraih Mohamad Taufik, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor.
Di Sarawak, antara “orang lama” yang kecundang termasuklah Piee Ling di Cabang Batang Sadong, yang sekadar mengutip 53 undi berbanding pencabarnya, Bahrudin Shah Ibrahim, 64 undi. Turut kecundang, orang lama di Cabang Lawas, Japar Suyut yang membawa pulang 110 undi berbanding lawannya, Muhd Zahid Matserudin 146 undi.
Di Cabang Kota Kinabalu, Ahli Dewan Undangan Api-Api yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Sabah, Christina Liew karam setelah dikalahkan calon yang 16 tahun lebih muda, Grace Lee Li Mei dengan majoriti 224 undi.
Segala keputusan mengejut ini berlaku ketika pemilihan cabang, yang bermula pada 11 dan berakhir 20 April lalu.
Dan tumpuan selepas ini tentunya kepada pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) yang akan berlangsung pada 24 Mei depan.
Siapa lagi yang ditendang selepas itu? Menurut Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh, sebelum pemilihan cabang, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) telah melaksanakan proses pemutihan keanggotaan dalam parti reformasi itu.
Turut berlaku pindaan perlembagaan, PKR, yang bertujuan membuka ruang untuk lebih ramai ahli memilih pimpinan tertinggi parti, yang diputuskan dalam Kongres Nasional Khas Keadilan 2024.
Pindaan tersebut, menurut Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil, membolehkan peningkatan kepada jumlah perwakilan yang memilih kepimpinan parti berikutan proses pemilihan akan diadakan secara fizikal dan hibrid (dalam talian).
Pindaan tersebut juga melibatkan prinsip penetapan kuota jantina dan etnik supaya lebih terangkum dan tidak ada kumpulan etnik yang tertinggal atau tidak terlibat dalam proses pemilihan.
Kata Fahmi lagi, ia juga memberi lebih keadilan di samping menerapkan proses pendigitalan dengan undian di peringkat cabang dilaksanakan secara dalam talian.
Menurut Pengerusi JPP, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, pemilihan ini akan memperkenalkan teknologi blockchain bagi memastikan tahap keselamatan dan ketulenan data pengundi dalam talian, selain menjamin integriti pengundian.
Mekanisme sekuriti itu katanya, menuntut pengundi dalam talian mengesahkan identiti merek dengan mendapatkan nombor pas pengesahan transaksi (OTP) melalui nombor telefon yang berdaftar serta melalui pengesahan pengecaman wajah.
Pengundi fizikal pula perlu membawa kad pengenalan mereka ke pusat mengundi dan perlu melalui pengesahan biometrik cap jari untuk pengesahan identiti.
Langkah ini menjadikan PKR sebagai parti politik pertama di Malaysia yang menerapkan pendekatan teknologi secara menyeluruh dalam proses demokrasi dalaman, sekali gus memperkukuh kedudukan parti sebagai pelopor pembaharuan politik yang progresif dan berteraskan teknologi.
Dr Zaliha berkata, proses pemilihan kali ini turut menyaksikan jumlah pengundi berdaftar yang menggalakkan iaitu mencapai sehingga 296,403 orang.
Daripada jumlah itu, 8,040 anggota (2.7 peratus) memilih untuk mengundi secara fizikal, manakala selebihnya memilih menggunakan saluran dalam talian, menerusi aplikasi ADIL.
Proses pengundian bagi kedua-dua kaedah ini akan dijalankan serentak mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan keputusan akan diumumkan pada hari sama bagi cabang-cabang mengikut tarikh yang telah ditetapkan JPP.
Biarpun pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan sistem ini kebal daripada manipulasi, keputusan pertandingan, terutamanya undian oleh pengundi dalam talian pada pemilihan cabang menimbulkan banyak keraguan.
Beberapa calon memberitahu penulis, keputusan yang diperoleh amat mengejutkan.
Para pemilih yang merupakan penyokong tegar, telah dipandu untuk memilih siapa yang patut diundi, namun secara tiba-tiba undi lawan lebih tinggi.
“Kita memang pasti jumlah undi yang bakal dimenangi kerana ia datang daripada penyokong kuat.
Justeru di mana lesapnya undi itu ketika keputusan diumumkan pada minggu lalu,” kata salah seorang daripada mereka. Ironinya, kes yang berbeza bagi pengundi fizikal.
Kebanyakannya tepat.
Bagi pakar IT, Najib Bakar, beliau tidak menolak jika proses pengundian ini dimanipulasi atau digodam oleh pihak tertentu.
“Kita tidak boleh tolak tepi kemungkinan ada sabotaj luaran yang matlamatnya menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri untuk penggal kedua.
“Adalah sangat mudah untuk mengubah sesuatu data secara terus di belakang, di database.
Walaupun di depan, ada 20 OTP, facial recognition, thumb print yang perlu dimasukkan sekalipun.”
Kata Najib, tidak kiralah sistem itu berkonsep tradisional (client server architecture), atau teknologi blockchain (smart contract), ada pelbagai kaedah manipulasi boleh berlaku.
Dalam sistem tradisional, pangkalan data yang dipakai ialah SQL.
Kalau dalam struktur kod sistem tersebut ada menyebut kemas kini data dalam SQL.
Kalau blockchain, ia akan menggunakan smart contract, dan data disimpan di Ethereum atau Hyperledger.
“Sangat mudah untuk kemas kini data di backdoor. Ia dilakukan menerusi skrip atau access database secara terus.
Setiap perjalanan data sepatutnya ada log.
Sekiranya nilai data tidak konsisten dari awal hingga e hujung dalam pangkalan data; kod dengan sengaja tidak menyimpan log, pasti ada sesuatu yang mencurigakan berlaku.
Sistem yang baik wajib ada log untuk integriti data.
Untuk teknologi blockchain katanya, tidak bermaksud ia tidak dapat diubah datanya.
Siapa yang tulis sistem kod ini? “ Manusia.
Apabila namanya pun manusia yang menciptanya, mereka boleh menjana satu fungsi khas tersembunyi yang boleh kemas kini dan ubah data secara backdoor.”
Kata Najib lagi, dalam memastikan ketelusan dalam menjayakan e-voting ini, Blockchain Forensic Tools boleh digunakan untuk menyemak integriti data.
Juga boleh semak di log. Jelasnya, ada banyak kes berkaitan manipulasi teknologi blockchain, dengan sistem tersebut ada fungsi tersembunyi untuk mengubah data.
“Untuk sistem e-voting yang boleh menentukan jatuh bangun sesebuah negara, tanpa struktur governans yang mantap, ia senang dimanipulasi.”
Yang pasti, bagi memastikan parti tunjang Kerajaan Perpaduan ini dapat menyuburkan demokrasinya, intervensi audit forensik adalah perlu untuk melihat isu ini. Pastikan keputusan cabang yang mencurigakan ini benarbenar tulen sebelum proses demokrasi untuk peringkat seterusnya dilakukan.
Jika tidak, PKR akan kehilangan begitu ramai tokoh, yang “mati katak” kerana agenda pihak tertentu, biarpun hakikatnya ada yang layak kalah, kerana mengabaikan kebajikan ahli cabangnya, setelah diangkat ke puncak kuasa.
• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.


