Tolak budaya buruk sangka

SIBU: Golongan belia digesa supaya menjauhkan diri daripada budaya buruk sangka, fitnah dan sentiasa berhati-hati perkara dibincangkan di media sosial.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol berkata, diharapkan supaya warga dewasa sentiasa membimbing dan memberi pedoman kepada warga belia.

“Tidak lama lagi mereka berumur 18 tahun akan diberi tanggungjawab mengundi bermakna secara tidak langsung bertanggungjawab untuk menentu hala tuju pembinaan negara dan masa depan kita.

“Ada mempersoalkan warga belia ini mempunyai kematangan untuk menjadi pengundi tetapi bagi saya kematangan adalah subjektif,” katanya pada majlis penutupan Pentas Melayu Melanau Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) 2019 di Dataran Tun Tuanku Bujang.

Abdullah menjelaskan, jangan mempersoalkan kematangan warga belia kita, yang penting mereka harus dibimbing dalam perkara yang baik dan berfaedah.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sibu Charles Siaw, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Ibrahim Laili dan wakil-wakil persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Melanau.

Abdullah turut menggesa rakyat di negeri ini memajukan negara dan mempertahan hak negeri bersatu tanpa mengira bangsa dan kaum serta tanpa mengira fahaman politik terutamanya dalam apa yang termaktub dalam Perlembagaan MA63.

“Ini masanya untuk semua warga negeri bersatu dan sentiasa bangga menjadi rakyat negeri Sarawak,” kata Adun Semop itu.

Abdullah turut memuji usaha dilakukan jawatankuasa pengelola menganjurkan program yang melibatkan penyertaan warga belia dan berharap lebih banyak penganjuran program belia.