Tolak MPKKP, perkukuhkan JKKK

KUCHING: Lebih 100 pemimpin masyarakat negeri ini membantah penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) di Pusat Latihan Salcro Bajo di sini, semalam.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penolakan tersebut dilakukan dalam majlis perhimpunan sebelum disuarakan olehnya dan Adun Tanjung Datu Datuk Amar Jamilah Anu.

“Ramai ketua masyarakat yang membantah penubuhan MPKKP kerana masih selesa dengan sistem lama yang sedia ada iaitu JKKK.

“Kerajaan sepatutnya menghormati penolakan sistem itu di negeri ini dan bukan memaksa mereka untuk menerima keputusan tersebut,” jelasnya dalam kenyataan semalam.

Menurut Uggah, kebanyakan pemimpin menandatangani perisytiharan untuk menolak pembentukan MPKKP yang dianggap hanya mengelirukan, khususnya penduduk di luar bandar.

Katanya, JKKK tidak perlu bimbang kerana kerajaan dan semua wakil rakyat sentiasa menyokong dan membantu mereka menggalas tanggungjawab dan perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Beliau juga menasihatkan pemimpin untuk terus memperkukuhkan JKKK di kawasan masing-masing. “Apabila sistem berjalan dengan teratur dan berkesan, pihak lain tidak mempunyai alasan untuk menggantikan organisasi sedia ada,” katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat supaya tidak terjejas dengan janji dan propaganda PH kerana parti itu masih gagal memenuhi janji yang dibuat dalam pilihan raya yang lalu. Uggah turut menyelar tindakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang sentiasa memperkecilkan tahap kepimpinan di negeri ini.

“Jangan menjadi bodoh dalam rancangan jahat mereka kerana pemimpin tempatan sahaja yang mampu menjaga dan melindungi hak-hak dan kepentingan rakyat dengan baik,” tegas Uggah.

Terdahulu Uggah merasmikan majlis perhimpunan yang dipimpin oleh Pemanca Ibrahim @Bentani Suni yang mewakili pemimpin Melayu, Pemanca London Tasinnmewakili Bidayuh, Penghulu Maling Sedek daripada Iban dan Penghulu Chin Kian Ming dari kaum Cina.