BINTULU: “Memang terkejut dan tidak sangka langsung nama saya dipilih sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah e-Peraduan Program Sarawakku Sayang Bahagian Bintulu.”
Demikian reaksi Tong Jong Jing, 42, seorang kakitangan Sarawak Water Bintulu, apabila diumumkan sebagai pemenang hadiah utama dalam cabutan bertuah sempena program tersebut di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, Ahad petang.

Tong yang bertugas sebagai Penyelia Pengagihan berkata, beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas penganjuran program yang memberi peluang kepada rakyat menikmati pelbagai manfaat, termasuk cabutan bertuah bernilai tinggi.
“Terima kasih kepada Premier Sarawak kerana menganjurkan program macam ini untuk rakyat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Samalaju, Datuk Majang Renggi.
Menurutnya, beliau pada awalnya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang kerana menyangka nombor gilirannya tidak bertuah.
“Anak saya pun ada tanya, ‘Bapak kenapa nama belum keluar?’ Saya kata tunggu dulu. Bila tengok nombor dipanggil, saya nampak macam tiada nombor satu, lima atau enam. Saya fikir mungkin tiada peluang kali ini.
“Memang tidak menyangka langsung, jadi bila nama diumumkan, rasa gembira secara mengejut,” katanya.
Beliau berkata penyertaannya dibuat selepas mengimbas kod bar e-Peraduan yang disediakan di Pavilion Bintulu ketika menghadiri program tersebut.
Mengulas mengenai hadiah dimenanginya, beliau berseloroh kemungkinan isterinya akan menjadi individu paling gembira menggunakan hadiah itu nanti.


