Biasanya, ibu bapa menganggap sakit tekak antara simptom umum untuk demam atau batuk.
Bagaimanapun, keadaan yang lebih membimbangkan apabila ia menjadi petanda bahawa anak-anak mengalami kondisi tonsil bengkak.
Menurut Ketua Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof Madya Dr Ramiza Ramza Ramli, tonsil ialah kelenjar tisu limfoid yang berfungsi sebagai markas pertahanan badan pada awal pembesaran kanak-kanak.
Beliau memaklumkan terdapat beberapa kelompok tisu limfoid di dalam rongga mulut termasuk, adenoids (Tonsil Pharyngeal) yang terletak di belakang hidung, palatine tonsil yang selalu dikaitkan dengan masalah sakit tonsil, lingual tonsil-terletak dibahagian belakan lidah dan tubal tonsil-terletak pada keliling saluran (auditory) menyambungkan hidung dengan telinga tengah.
Tonsil merupakan sepasang organ kecil yang terletak di belakang kerongkong dan memainkan peranan penting dalam sistem limfatik tubuh badan manusia.
Tonsil berfungsi mencegah benda asing dan mikrob terutama virus atau bakteria daripada masuk ke dalam organ utama seperti paru-paru yang membawa masalah pada sistem pernafasan.
Ia juga berfungsi membantu menghasilkan sel darah putih dan antibodi tubuh badan sekali gus menguatkan lagi sistem imunisasi untuk melawan jangkitan.
Kumpulan tisu tonsil ini dikenali sebagai lingkaran tonsil waldeyer (waldeyerls tonsilar ring).
Semasa awal pembesaran kanak-kanak, kesemua tonsil berfungsi sebagai pertahanan badan.
Ia melawan jangkitan kuman yang melalui saluran pernafasan dan mulut kanak-kanak.
Bagaimanapun, apabila kanak-kanak dijangkiti kuman, tisu tonsil menghasilan sel untuk melawan kuman dan ini menyebabkan tonsil menjadi radang dan membesar.
Ia berterusan sehingga kanak-kanak berumur dua hingga tiga tahun.
Kemudian, ia secara beransur-ansur diambil alih tugas oleh sistem pertahanan badan yang lebih menyeluruh dan matang. Apabila ini berlaku tisu tonsil mengecil dan kurang berfungsi.
JANGKITAN
Tetapi sesetengah individu tisu tonsil terus kekal besar dan menjadi tumpuan jangkitan kuman.
Kesannya, mereka mengalami sakit tonsil yang kerap (sekurang-kurangnya sekali sebulan).
Jadi, sudah tentu ia menjadi masalah jika tonsil tekak bengkak akibat punca tertentu.
Kebengkakan pada tonsil atau lebih popular dengan istilah tonsilitis ialah kondisi organ kecil ini mula membengkak dan meradang akibat daripada jangkitan virus atau bakteria.
Kondisi ini boleh berlaku kepada semua individu tanpa mengira usia, namun lebih berisiko terjadi kepada golongan kanak-kanak dan remaja iaitu mereka dalam lingkungan umur 5 hingga 15 tahun.
Gejala tonsil tekak bengkak pula biasa muncul dua hingga empat hari selepas jangkitan seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit telinga, sakit kepala, suara serak, air liur meleleh tidak selesa menelan dan pembengkakan kelenjar limfa.
Menurut pakar, terdapat tiga tahap utama tonsilitis iaitu akut, kronik dan berulang, ia berbeza jangka masa untuk ia pulih.
Kondisi ini perlu segera dibawa dan dirujuk dengan doktor dalam usaha mengelak komplikasi atau implikasi negatif terhadap individu.
Menurut kebanyakan doktor, mereka menyarankan agar masalah tonsil dirujuk dan dirawat kepada pakar ENT.
Justeru, terdapat dua rawatan perubatan tonsillitis (jangkitan kuman pada tonsil) yang dimaklumkan oleh doktor.
Untuk permulaan, doktor menyarankan anak-anak dirawat menggunakan kaedah antibiotik. Ia perlu diambil selama sekurang-kurangnya seminggu.
RAWATAN
Pada masa yang sama, pesakit juga disarankan untuk mengamalkan perawatan di rumah termasuk kumur air garam, minum air, cukup rehat serta hindari daripada asap, debu, habuk, dan segala jenis atau bentuk pencemaran udara di luar.
Sekiranya kaedah pertama tidak berkesan, doktor melakukan pembedahan tonsil yang juga dikenali sebagai tonsillectomy – pembedahan untuk membuang tonsil sebagai jalan terakhir merawat penyakit tonsil yang berulang.
Bagaimanapun, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi sebelum doktor pakar ENT menasihati pesakit untuk tonsillectomy.
Kriteria asas untuk tonsillectomy ialah masalah sakit tonsil yang berulang-ulang menyebabkan pesakit memerlukan rawatan doktor, ubatan antibiotik dan terpaksa mengambil cuti persekolahan atau bekerja.
Pesakit mengalami tonsillitis sebanyak lima kali setahun atau tujuh kali dalam masa dua tahun berturut-turut.
Selain itu, tonsil besar dan radang yang menyebabkan pesakit berdengkur dan mengalami apnea (berhenti bernafas) semasa tidur.
Malah, sakit tonsil yang menyebabkan kawasan di sekeliling tonsil bernanah (peritonsillitis atau quincy).
Kesimpulannya, kondisi tonsil bengkak mungkin boleh jadi ringan, sederhana atau teruk.
Ibu bapa dinasihatkan untuk segera berjumpa dan berbincang dengan doktor jika anda mula perasan ada simptom pada tekak.



