ARTIKEL

Tradisi berpuisi dan penyair sezaman

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUISI sudah lama berakar dan mekar di jiwa masyarakat Melayu dan nusantara.

Hubungannya amat akrab dan dekat dengan kehidupan harian masyarakat.

Pantun syair, gurindam, seloka, mentera, pepatah pepatih dan talibun sejak zaman dahulu telah memainkan peranan yang penting dan tersendiri dalam membentuk lingkungan adat dan budaya bangsa.

Kepercayaan, pemikiran, perasaan dan kecerdikan bangsa terselit di celah keindahan bahasa dan makna. Zaman terus berlalu dan bertukar ganti.

Pada setiap zaman tersebut akan terus muncul para penyair yang meneruskan tradisi berpuisi ini biarpun dalam bentuk yang lebih baharu.

Saya mula mengenali dunia puisi secara akrab pada awal tahun 1980- an. Suatu dekad yang menyaksikan kemunculan dan keghairahan ramai penyair muda untuk menempatkan diri dan diterima sewajarnya dalam peta puisi tanah air.

Lama sebelum itu, sejarah puisi Melayu moden telah bermula dan ditandai dengan kemunculan puisi berjudul Angan-angan dengan gurindam dalam Utusan Melayu pada 18 Januari 1913 karya Omar Mustaffa yang dianggap membawa ciri-ciri kemodenan atau pembaharuan.

Menyimpang daripada kebiasaan dan peraturan puisi melayu tradisional samada dari segi isi dan bentuknya.

Walau bagaimaapun, selepas tersiarnya puisi tersebut, tiada lagi usaha susulan dilakukan untuk meneruskan kegiatan ini. Sehinggalah sejak dekad 30-an Harun Aminurrasyid, Pungguk, Ngumba, Kasmani Haji Arif, Rus Hamadi dan beberapa nama lagi menghidupkan kembali kegiatan itu secara jelas.

Sajak-sajak mereka mencerminkan keadaan dan suasana sosial, ekonomi dan politik zaman berkenaan.

Persoalan cinta akan tanah air dan menuntut kemerdekaan terpancar luas lewat puisi-puisi yang dihasilkan.

Menurut Dharmawijaya dalam Lagu Kehidupan (1983: v), tahun 1950-an dianggap oleh peneliti sastera sebagai tahun-tahun yang telah meletakkan titik tolak arah perkembangan puisi Melayu moden.

Perkara ini dilatari dengan tertubuhnya Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50 yang membawa slogan ‘Seni untuk Masyarakat’. Mahsuri SN dan Usman Awang merupakan tokoh-tokoh penyair asas 50 yang penting dan berpengaruh.

Kejayaan dan kemasyuran Usman Awang banyak didasari oleh kehalusan dan kejernihan bahasa dan keintiman persoalan puisinya dengan kehidupan rakyat terbanyak dan akhirnya menjadi idola kepada para penyair yang muncul kemudiannya.

Penyair lain yang penting mucul pada dekad tersebut ialah A. Samad Said, Noor S.I., A.S. Amin, Salmi Manja, Suhaimi Haji Muhammad, Afrini Adham, Mokhtar Yassin dan beberapa orang lagi.

A. Samad said telah melakukan pelbagai percubaan untuk menimbulkan pembaharuan teknik dalam perkembangan persajakan Melayu.

Menjelang tahun 60-an, pertumbuhan puisi Melayu moden menemui suasana dan arah perkembangannya yang lebih bermakna.

Kemunculan penyair-penyair lepasan universiti, Maktab Perguruan dan Sekolah Menengah telah menyumbang ke arah memperkayakan puisi dengan pemikiran dan teknik yang berkesan dan menyakinkan sebagai suatu pengucapan seni.

Semua ini dan dikesan dalam sajak-sajak A. Wahab Ali, Dharmawijaya, Firdaus Abdullah, Kemala, Shamsudin Jaafar, Jihaty Abadi, Kassim Ahmad, Hadzrami A. R. Anis Sabirin, Muhammad Haji Salleh, A. latiff Mohidin dan Rustam A. Sani.

Kejayaan dan kemajuan mereka ini semua semakin ketara pada dekad berikutnya.

Sesungguhnya dekad 70-an dianggap sebagai tahun-tahun pencapaian perkembangan puisi Melayu moden yang penting.

Menurut Dharmawijaya dalam Dunia Puisi (1998: 36) sejak awal dekad tersebut perkembangannya mula menjanjikan kematangan intelektual yang semakin mantap.

Kebanyakan sajak yang dihasilkan mula menjurus kepada pernyataan pemikiran yang lebih analitikal dan rasional.

Kematangan pemikiran dan kemantapan teknik diwakili oleh karya Baha Zain, A. Latiff Mohidin dan Muhammad Haji Salleh. Kemala, Nahmar Jamil, Suhaimi Haji Muhammad dan Shafie Abu Bakar pula melahirkan puisi-puisi yang membawa nilai-nilai kerohanian dan keislaman.

Usman Awang dan A. Samad Said masih terus membenihkan puisi-puisi dan turut membawakan perubahan dan pembaharuan gaya penyampaian.

Antara penyair-penyair lain yang turut muncul dan berkembang dengan gaya masing-masing serta memberikan sumbangan berharga kepada kepelbagaian corak pengucapan puisi ialah A.

Ghafar Ibrahim, Jaafar HS, Zurinah Hassan, T. Alias Taib, Rahman Shaari, Zaihasra, Siti Zainon Ismail, Moechtar Awang, Adi Badiozaman Tuah, Saie Driss, A. Rahim Abdullah, Lim See Tin, Jamdin Buyong, K. Bali, Ismaily Bongsu, Latifah Hj. Sebli, Leo A.W.S dan Siti Zaleha M. Hashim., Sutung Umar RS dan Nawawee Mohammad. Kejayaan dan kemajuan mereka ini semua semakin ketara dan berterusan pada dekad seterusnya.

Ketika mengetuk pintu dunia penulisan puisi secara serius pada awal 1980-an, saya telah berkenalan dengan nama dan puisi penyair muda sezaman dan sering saya temui lewat ruangan sastera di akhbar dan majalah tanah air. Nama-nama seperti Mohd Azlan Sulong, Abdul Hadi Muhammad, Moechtar Awang, Azmi Yusoff, Rudi Mahmood, Imlan Abadi, Zean Kasturi, Wan Razuhar, Sri Diah, Hilmi Rindu, Mattaib Nordin, Ami Masra, Awang Abdullah, Sabil Madun, Jais Sahok, M. Said Muharam, Hasyuda Abadi, Abdul Hadi Yusoff, Marsli N.O, Hipani Alwi, Mustafa Jusoh, Mattaib Nordin, Lee Chong Beng, Rajiee Hadi, Lee Keok Chih, Fadilah Juni, Hipani Alwi, Pharo Abdul Hakim, Nur Dzahirdi, Taufiq Firdausi, Zaibiee, Basri Abdillah, Suwanlerd Pro Poul dan beberapa nama lagi.

Mereka begitu rancak mewarnai alam perpuisian tanah air ketika itu.

Satu keistimewaan yang terdapat dalam bidang penulisan jika dibandingkan dengan bidang lain ialah gelaran muda yang agak lama disandang.

Penulis atau penyair yang telah atau hampir berkarya sesuku abad masih dilabelkan sebagai penulis muda.

Dalam bidang lain sepertinya nyanyian atau lakonan mereka yang telah berkecimpung dalam tempoh serupa sudah dianggap sebagai veteran atau orang lama.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU