KUCHING: Transformasi digital Sarawak perlu dipandu dengan prinsip integriti bagi memastikan keselamatan data, perlindungan privasi dan akauntabiliti terus terjamin dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak terus memperkukuh transformasi digital bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Katanya, inisiatif seperti SarawakPass, S PAY GLOBAL dan pembangunan Pusat Sains Sarawak mencerminkan usaha Kerajaan Sarawak dalam memanfaatkan teknologi untuk mewujudkan perkhidmatan yang lebih mudah, pantas dan berkesan.
“Walau bagaimanapun, kemajuan teknologi mesti sentiasa dipandu oleh prinsip integriti.
“Aspek keselamatan data, perlindungan privasi, akauntabiliti dan keterangkuman perlu diberi perhatian agar transformasi digital benar-benar meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan.
“Justeru, setiap inisiatif pembangunan yang dilaksanakan mestilah berasaskan nilai amanah, ketelusan dan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat perdana sempena Sambutan Hari Integriti 2026 (HIS 2026) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.

Menurutnya, setiap inisiatif pembangunan yang dilaksanakan kerajaan perlu berasaskan nilai amanah, ketelusan dan tanggungjawab tanpa mengira sektor termasuk tenaga, pendidikan, ekonomi mahupun digital.
Katanya, matlamat akhirnya adalah memastikan setiap kemajuan yang dicapai membawa manfaat bermakna kepada rakyat serta memperkukuh kemakmuran Sarawak.
Beliau berkata, kejayaan agenda ini bukan hanya diukur melalui jumlah pelaburan atau pertumbuhan ekonomi semata-mata.
“Ukuran sebenar ialah sejauh mana pembangunan ini mampu membuka peluang kepada rakyat Sarawak, khususnya melalui penyediaan pekerjaan berkemahiran tinggi, pembangunan modal insan tempatan serta peningkatan kualiti hidup masyarakat,” katanya.
Abang Johari berkata, kemajuan ekonomi yang dicita-citakan mesti bergerak seiring dengan pembangunan modal insan agar setiap peluang dan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil serta dikongsi secara meluas oleh seluruh rakyat Sarawak.

Dalam pada itu, katanya, maklum balas dan teguran rakyat harus dilihat sebagai peluang untuk memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan.
Beliau berkata, pentadbiran yang berintegriti bukanlah pentadbiran yang tidak pernah melakukan kesilapan, tetapi pentadbiran yang bersedia menerima teguran, bertindak secara telus dan melakukan penambahbaikan secara berterusan.
“Perkhidmatan awam yang berintegriti hanya dapat diwujudkan apabila setiap warga perkhidmatan memahami bahawa amanah yang dipikul adalah untuk rakyat.
“Pada akhirnya, kejayaan pentadbiran kerajaan tidak hanya diukur melalui dasar atau prosedur yang diwujudkan, tetapi melalui pengalaman rakyat dalam menerima perkhidmatan yang cepat, adil, berkualiti dan boleh dipercayai.
“Apabila rakyat yakin terhadap penyampaian kerajaan, keyakinan terhadap institusi awam akan terus diperkukuh,” katanya.
Dalam masa yang sama, katanya, peranan Pegawai Integriti Bertauliah atau Certified Integrity Officer (CeIO) juga amat penting dalam memastikan budaya integriti terus diperkukuh dalam perkhidmatan awam.
“CeIO berperanan sebagai penggerak atau ejen kepada pembudayaan integriti dalam organisasi dan pemudah cara, di samping membantu memperkukuh pematuhan, tadbir urus dan pengurusan risiko.
“Justeru, setiap ketua jabatan perlu memberikan sokongan yang sewajarnya kepada CeIO agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab secara profesional dan berkesan,” katanya.





