ARTIKEL

Madeline Berma

Transformasi Ekonomi Sarawak Perlukan Komitmen Menyeluruh – Madeline Berma

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak semakin giat memperkukuh strategi serta melaksanakan pelbagai inisiatif utama dalam usaha mentransformasikan negeri ini menjadi sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi, sejajar dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030).

Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma, berkata PCDS 2030 menumpukan kepada tiga teras utama pembangunan, iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Usaha transformasi ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat, malah akan membawa perubahan struktur ekonomi dan sosial yang menyeluruh.

“Rakyat dan kerajaan perlu bersiap sedia kerana transformasi ini akan mencetuskan perubahan besar dalam struktur masyarakat dan ekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata PCDS 2030 menyasarkan transformasi struktur ekonomi Sarawak melalui penggandaan saiz Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan peningkatan sumbangan sektor-sektor utama.

Ujarnya, Sarawak juga perlu berpandukan model pertumbuhan ekonomi yang terbukti berjaya di negara membangun, dengan memberi tumpuan kepada tiga faktor utama iaitu pengumpulan modal fizikal, tenaga buruh serta peningkatan produktiviti melalui penggunaan teknologi.

“Dari segi pengumpulan modal, Sarawak mencatat RM14.6 bilion nilai kerja pembinaan bagi tahun 2023, menduduki tempat keempat selepas Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor.

“Di Sarawak, aktiviti pengumpulan modal boleh dilihat melalui pembinaan jalan raya, Rangkaian Jalan Pesisir, Jalan Utama Kedua, Lebuhraya Sarawak-Sabah Link Road (SSLR), Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Pantai Utara (NCH).

“Sarawak mempunyai keupayaan logistik yang kukuh dengan enam pelabuhan perdagangan yang beroperasi serta pembinaan empat estet industri yang bakal mempercepatkan pembangunan sektor perindustrian negeri,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, Madeline mengingatkan kerajaan agar menilai semula kesesuaian membangunkan dua projek mega iaitu lapangan terbang antarabangsa di Tanjung Embang dan pelabuhan pintar di Kuching.

Jelasnya, kedua-dua projek tersebut boleh dilaksanakan apabila situasi ekonomi Sarawak semakin kukuh, memandangkan projek-projek ini mempunyai kesan rantaian yang besar sekali gus mampu merangsang ekonomi setempat.

Menurutnya, kedua-dua projek tersebut amat strategik untuk membolehkan Sarawak menjadi hab bahagian Barat Borneo yang terletak di laluan trafik ekonomi perkapalan dan penerbangan dari Barat ke rantau ini.

Projek Transit Aliran Autonomi (ART) turut dilihat sebagai satu inisiatif bijak yang mampu meningkatkan kecekapan mobiliti di kawasan bandar utama negeri ini berbanding sistem pengangkutan tradisional.

Sehubungan itu, pembangunan sumber manusia merupakan antara cabaran utama Sarawak, dan Madeline menekankan keperluan untuk meningkatkan pelaburan dalam pendidikan, latihan kemahiran serta penjagaan kesihatan bagi membina modal insan yang berdaya saing.

“Sarawak kini berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga kerja mahir dan dari segi demografi, negeri ini dijangka mencapai status wilayah tua lebih awal berbanding jangkaan seluruh Malaysia yang dijangka mencapainya pada tahun 2030.

“Berdasarkan statistik, Sarawak akan mencapai status wilayah tua dua tahun lebih awal, iaitu pada 2028, dan keadaan ini akan memberi kesan terhadap produktiviti.

“Saya menyambut baik beberapa inisiatif kerajaan seperti Program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak (GETS-WRP) dan pemberian pendidikan tinggi percuma kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), yang disifatkan sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja tempatan.

“Pada masa sama, saya mencadangkan agar polisi imigresen dilonggarkan secara terpilih bagi membolehkan kemasukan tenaga mahir dari luar negeri, yang penting dalam usaha jangka pendek untuk memacu pembangunan ekonomi negeri sambil memupuk bakat tempatan,” ujarnya.

Jelasnya, PCDS menyasarkan seramai 500,000 tenaga kerja berkemahiran dengan pendapatan isi rumah median sebanyak RM15,049 menjelang 2030, yang merupakan satu sasaran besar tetapi tidak mustahil jika dilaksanakan dengan perancangan yang teliti.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa kemajuan teknologi memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dan secara langsung menyumbang kepada peningkatan produktiviti.

Ujarnya lagi, Kerajaan Sarawak sedang mengkaji pelbagai teknologi baharu yang dapat menjana lebih banyak sumber tenaga boleh baharu (TBB) bagi mencapai sasaran menghasilkan 10 gigawatt (GW) tenaga menjelang 2030, berbanding 5,700 megawatt (MW) ketika ini menerusi campuran penjanaan daripada sumber hidro, arang batu dan gas.

“Sarawak juga sedang meneroka potensi eksport tenaga ke negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura melalui projek penyambungan tenaga rentas sempadan.

“Bukan itu sahaja, Sarawak kini menjadi peneraju dalam penggunaan teknologi campuran bagi penghasilan tenaga elektrik. Selain memenuhi keperluan domestik, Sarawak juga mampu menjadi pembekal tenaga bersih di peringkat serantau.

“Dalam sektor pelancongan pula, penggunaan teknologi canggih dijangka membantu memperkukuh industri berkenaan dengan pendekatan yang lebih lestari dan inovatif,” tambahnya.

Dalam pada itu, Madeline menyimpulkan bahawa Sarawak berada di landasan yang betul untuk mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.

Justeru, katanya, kejayaan ini memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak sama ada kerajaan, sektor swasta mahupun rakyat sendiri.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha