ARTIKEL

TRANSFORMASI LANDSKAP PEKUBURAN MODEN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TANAH perkuburan sering dianggap sekadar tempat persemadian terakhir bagi insan yang telah pergi. Namun, Tanah Perkuburan Islam Bako (TPIB) membuktikan bahawa kawasan perkuburan mampu membawa nilai yang jauh lebih besar daripada sekadar itu.

Terletak di Kuching, TPIB menampilkan pengurusan yang teratur, landskap yang harmoni serta pendekatan bersepadu, sekali gus menjadikannya antara model pengurusan tanah perkuburan Islam paling cemerlang di Sarawak.

Pengerusi TPIB, Awg Majri Awg Rosli, berkata konsep “kubur dalam taman” yang diterapkan di TPIB diuruskan dengan penuh teliti sehingga mewujudkan suasana yang bukan sahaja mendamaikan, malah memudahkan urusan waris dan masyarakat.

Dari aspek fizikal, katanya, TPIB menyediakan pelbagai kemudahan asas yang jarang ditemui di kebanyakan tanah perkuburan.

“Ruang solat disediakan bagi memudahkan pelawat menunaikan ibadah, manakala tempat wuduk, sistem pencahayaan, laluan pejalan kaki serta laluan kenderaan turut disusun secara strategik bagi memastikan pergerakan lebih teratur.

“Seluruh kawasan ini juga dilengkapi dengan zon tertentu untuk memudahkan waris mencari lokasi kubur.

“Selain itu, penyelenggaraan berjadual dilaksanakan bagi memastikan kawasan sentiasa bersih dan sedap dipandang,” katanya kepada Suara Sarawak.

Selain itu, katanya, pengurusan TPIB turut memperkenalkan sistem data kubur yang membolehkan maklumat jenazah disimpan secara tersusun serta memudahkan proses pencarian rekod.

Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) pengebumian pula dilaksanakan dengan penuh tertib bagi menjamin kelancaran urusan fardu kifayah.

Keunikan sebenar TPIB bukan sahaja terletak pada infrastrukturnya, malah pada sistem pentadbirannya yang menggabungkan pelbagai lapisan masyarakat.

“Di sini, pengurusan tidak bergantung sepenuhnya kepada ahli jawatankuasa rasmi, sebaliknya digerakkan melalui kerjasama erat antara rakan pengurusan, sistem zon kampung, Lembaga Amanah Masjid serta badan-badan komuniti setempat.

“Semangat gotong-royong inilah yang menjadikan TPIB lebih daripada sekadar tanah perkuburan.

Ia menjadi simbol kekuatan sosial dan budaya masyarakat Islam yang menghayati nilai fardu kifayah.

“Pendekatan inklusif dan kolaboratif ini turut menjadi faktor utama mengapa pengurusan TPIB semakin dikenali dan dihormati.

“Reputasi TPIB sebagai tanah perkuburan Islam yang tersusun terus mengukuh apabila ia menjadi destinasi pilihan bagi lawatan penanda aras dari dalam dan luar negara,” jelasnya.

Antara delegasi yang pernah mengadakan lawatan ke lokasi tersebut, katanya, termasuk Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Baram dari Miri pada 4 Mac 2022, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Sabah pada 16 Jun 2022, serta delegasi dari Kalimantan, Indonesia pada 17 Jun 2023.

Pada 21 Disember 2023, rombongan dari Kemboja dan pegawai Baitulmal Sarawak turut mengadakan lawatan rasmi bagi meninjau cara kerja pentadbiran TPIB. Seterusnya, Lembaga Kebajikan Masjid Bandar Sri Aman yang diketuai Datuk Abang Shamsudin Boje membuat kunjungan pada 30 November lalu.

“Tidak ketinggalan, Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Kampung Semera bersama 12 ahli, termasuk penghulu dan ketua kaum, melawat pada 4 Disember lalu, diikuti waris Al-Banjari dari Banjarmasin, Jakarta, dan Surabaya,” ujarnya.

Selain itu, Awg Majri memberitahu, Jawatankuasa Masjid Muara Tuang, pegawai dari JAIS, Baitulmal dan MAIS serta kumpulan pelajar IKMAS turut menjadikan TPIB sebagai lokasi pembelajaran melalui program gotong-royong dan lawatan pada 26 Oktober 2023.

Setiap kunjungan, kata beliau, memberi tumpuan kepada aspek operasi, penyimpanan data, SOP pengebumian, pengurusan pelanggan serta prestasi penyelenggaraan yang menjadi kelebihan utama TPIB.

Menariknya, TPIB bukan sahaja menjadi lokasi rujukan pengurusan, malah turut menarik perhatian penggiat seni tempatan.

Pada 5 Ogos 2022, sebuah syarikat perfileman memilih kawasan ini sebagai lokasi penggambaran yang melibatkan pelakon terkenal tanah air, Mahmud Ali Bashah.

Pemilihan ini membuktikan bahawa TPIB bukan sahaja terurus, malah memiliki nilai visual dan estetika yang menghormati sensitiviti Islam, menjadikannya latar tempat yang sesuai untuk karya seni yang memerlukan suasana tenang dan penuh simbolik.

Justeru, beliau berkata, usaha memperkemas kawasan perkuburan bukan hanya bertujuan memastikan urusan akhir hayat berjalan lancar, tetapi juga menjadi medium pendidikan masyarakat.

“Di sini, umat Islam diingatkan tentang adab menziarahi kubur, kesedaran terhadap kehidupan selepas mati serta tanggungjawab fardu kifayah yang tidak boleh dipandang ringan.

“Tanah perkuburan juga berperanan sebagai ruang pendidikan generasi muda mengenai warisan dan amanah dalam menjaga maruah akhir hayat.

“Dalam konteks moden, pengurusan tanah perkuburan memerlukan perancangan jangka panjang, penyelenggaraan sistematik serta pelibatan komuniti secara berterusan agar kawasan kekal terpelihara,” kongsinya.

TPIB berjaya menunjukkan bahawa tanah perkuburan bukanlah sekadar ruang sunyi yang memisahkan yang hidup dan yang telah pergi.

Sebaliknya, ia merupakan institusi penting yang menghubungkan nilai warisan Islam, tanggungjawab masyarakat dan kesinambungan spiritual.

Melalui pengurusan yang cekap, penyertaan komuniti yang konsisten dan visi jangka panjang, TPIB kini berdiri sebagai contoh terbaik bagaimana warisan akhir hayat umat Islam dapat diurus dengan penuh martabat, harmoni dan berdaya maju.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU