KUCHING: Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd menjadi syarikat pertama di wilayah ini memenangi dua Anugerah Keselamatan Jalan Raya sempena Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024 di Putrajaya, baru-baru ini.
Syarikat tersebut merangkul gelaran johan dan naib johan dalam dua kategori, masing-masing Anugerah Majikan Terbaik bagi Pengurusan Keselamatan Jalan Raya Berkaitan Kerja 2023 dan Anugerah Majikan Terbaik bagi Pengurusan Keselamatan Perjalanan Ulang-Alik 2023.
Trienekens turut muncul sebagai syarikat pertama dari Sarawak menerima penghormatan berprestij dalam kedua-dua kategori tersebut.
Ia membuktikan penekanan dan komitmen syarikat yang tidak berbelah bahagi dalam hal berkaitan keselamatan jalan raya.
Ia sekali gus menetapkan penanda aras untuk kecemerlangan keselamatan di rantau ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trienekens Stephen Chin, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada syarikat atas pencapaian itu.
Jelasnya, kemenangan hanya dapat dicapai dengan kerja keras pasukan yang berdedikasi.
Beliau turut merakamkan terima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) kerana mengiktiraf kerja Trienekens dan memberikan sokongan padu selama ini.
Terdahulu, persidangan itu bertemakan “Perjalanan Lebih Selamat, Masa Depan Mampan,” dianjurkan oleh PERKESO dan MIROS menarik lebih 1,000 peserta dari seluruh Asia.
Turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) Trienekens Harris Michael Deho dan Pengurus Bahagian Logistik dan Perkhidmatan Lee Ghee Seng.
Mereka menerima anugerah daripada Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi PERKESO Edmund Peck Huang Cheong dan Ketua Pengarah MIROS Ts Dr Siti Zaharah Ishak.






