ANKARA: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu mengumumkan pemberhentian serta-merta semua perdagangan, termasuk lawatan, dengan Sepanyol ketika mengkritik kurangnya penyertaan Madrid dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semasa sidang kemuncak pakatan itu di sini, lapor Xinhua.
Bercakap kepada wartawan bersama Setiausaha Agung NATO Mark Rutte menjelang sesi sidang kemuncak utama, Trump berkata, “(Hubungan dengan) Sepanyol adalah sia-sia. Kami tidak mahu melakukan sebarang perniagaan perdagangan dengan Sepanyol lagi.”
Presiden AS itu kemudian secara terbuka mengarahkan pentadbirannya untuk memutuskan hubungan dagang. Berpaling kepada Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent, Trump berkata: “Sepanyol ialah rakan kongsi yang teruk dalam NATO. Mereka tidak mengambil bahagian, mereka tidak membayar. Saya tidak mahu apa-apa kaitan dengan Sepanyol. Hentikan semua perdagangan dengan Sepanyol, termasuk lawatan.”
Madrid baru-baru ini enggan memenuhi sasaran baharu perbelanjaan pertahanan keluaran dalam negara kasar (KDNK) lima peratus NATO dan tidak membenarkan AS menggunakan ruang udara atau wilayahnya untuk operasi ketika perang dengan Iran.
— BERNAMA-XINHUA



