TSUNAMI perniagaan dalam talian

TSUNAMI pandemik Covid-19 menjadikan perniagaan dalam talian melonjak secara luar biasa.

Bagaimanapun, perniagaan dan perusahaan konvensional terjejas teruk serta terus merudum.

Hakikat mereka yang bergantung dengan perniagaan konvensional terus menanggung kerugian.

Persoalan sekarang apa akan terjadi sekiranya usahawan tidak menggunakan teknologi?

Adakah perniagaan dalam talian memberi ancaman kepada usahawan berkenaan dalam mengembangkan perniagaan?

Jawapan mudah, teknologi bakal memberikan ancaman kepada lebih banyak usahawan serta peniaga.

Malah ia juga bakal mencetuskan gelombang tsunami ekonomi kepada mereka yang tidak memanfaatkan kekuatan dan kelebihannya.

Lihat sahaja masalah yang dihadapi pemandu teksi.

Pendapatan mereka merudum akibat pelaksanaan e-hailing sehingga ramai yang gulung tikar.

Sehingga kini, banyak PKS termasuk restoran, kedai runcit, pasar raya dan peniaga menawarkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan kepada pengguna, yang boleh diperoleh menerusi dalam talian.

Ini kerana perniagaan dalam talian membolehkan mereka akses kepada pasaran yang lebih besar dan luas.

Meningkat Sebanyak 3 Peratus

Penyertaan e-dagang dalam kalangan PKS meningkat 3 peratus antara Mac hingga Oktober 2020
berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Manakala antara 1 Mac hingga 31 Oktober tahun lalu, sebanyak 373,213 entiti mendaftarkan perniagaan mereka di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi kategori dalam talian.

Lebih 2,500 restoran atau 65 peratus daripada jumlah 4,250 ahli seluruh negara – kini turut menjalani perniagaan dalam talian.

Pandemik Covid-19 sebagai dorongan bagi mereka membawa perniagaan mereka ke platform digital.

Pada peringkat antarabangsa, penjualan pada 11 November, dua gergasi e-dagang di China iaitu Alibaba.com dan JD.com membuat transaksi penjualan bersama-sama AS$115 bilion (RM474.15 bilion) di platform e-dagang mereka.

Lebih mengejutkan, angka jualan Alibaba.com ketika Covid-19 pada tarikh itu jauh lebih tinggi, iaitu hampir sekali ganda berbanding transaksi penjualan pada 11 November 2019.

Malah, jumlah jualan mereka pada tarikh berkenaan lebih tinggi
daripada keseluruhan Belanjawan 2021 iaitu RM322.5 bilion.

Sesuaikan Teknologi Maklumat

Peniaga perlu serius mempertimbangkan bagi menyesuaikan teknologi maklumat dan komunikasi kerana ia memainkan peranan penting dalam mendorong pertumbuhan sektor PKS tidak hanya dari segi meningkatkan produktiviti dan kecekapan, tetapi juga dalam memperluas jangkauan pasaran mereka.

Bagi menyesuaikan diri dengan ekonomi digital secara keseluruhan, PKS perlu mereka semula model perniagaan memastikan mereka mempunyai strategi, proses dan infrastruktur perniagaan yang betul untuk menyokong transformasi digital.

Ini menjadi semakin penting sekarang memandangkan pandemik yang masih dialami mempengaruhi banyak perniagaan, terutama mereka yang belum menyesuaikan digitalisasi dan belum menceburkan diri dalam e-dagang.

Kita harus memuji langkah peniaga mendigitalkan operasi mereka dengan menyatakan bahawa langkah itu bukan sahaja menghasilkan pendapatan berpotensi lebih tinggi tetapi juga sejajar aspirasi Revolusi Industri 4.0 negara ini.

Pengenalan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dilancarkan 19 Februari lalu dan ditegaskan sekali lagi oleh Perdana Menteri bertepatan situasi ekonomi negara tidak menentu ini.

Melalui inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital itu, 500,000 peluang pekerjaan dicipta dengan 30 peratus peningkatan produktiviti dalam semua sektor menjelang 2030.

Ia juga mampu menyumbang 22.6 peratus ekonomi digital kepada KDNK dengan unjuran RM70 bilion pelaburan dalam pendigitalan masa depan.

Melalui rangka tindakan itu juga, masyarakat khususnya usahawan dan peniaga perlu beralih kepada ekonomi digital melalui pelbagai inisiatif dirangka kerajaan dibahagikan kepada enam teras utama, 22 strategi, 48 inisiatif nasional dan 28 inisiatif sektor.

Antara inisiatif tersebut ialah menyediakan Kompas Digital disesuaikan mengikut perniagaan menggalakkan penggunaan digital, memperkasa jaguh tempatan dan menggalakkan pelaburan melalui kluster industri digital.

Sesungguhnya peralihan progresif e-dagang memberi kesan besar kepada pembangunan ekonomi negara dan memungkinkannya menghadapi cabaran ekonomi global.

Jika lebih banyak PKS beralih kepada perniagaan dalam talian, mereka dapat meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada 2019, PKS menyumbang 38.9 peratus KDNK dan 66 peratus pekerjaan dalam negara. Pertumbuhan perniagaan dalam talian tahun ini dijangka meningkatkan pertumbuhan KDNK dapat memastikan ekonomi Malaysia berada di landasan yang betul untuk berkembang 6.5 peratus hingga 7.5 peratus seperti yang disasarkan di bawah Belanjawan 2021.

Suara Sarawak