Tua atau muda, undilah dengan aspirasi

Di Malaysia, hak seseorang rakyat mengundi termaktub dalam Perlembagaan Persekutaan.

Menurut Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan, warganegara yang mencapai umur 21 tahun, bermastautin di sesuatu kawasan pilihan raya pada tarikh kelayakan dan sudah didaftarkan dalam daftar pemilih, layak dan berhak mengundi dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat (Parlimen) atau Dewan Undangan Negeri (DUN)

Namun, jika dilihat keadaannya sebelum 1970-an, had layak mengundi di seluruh negara demokrasi ialah 21 tahun ke atas.

Langkah menurunkan had umur kepada 18 tahun bermula selepas 1970-an di United Kingdom (1969/70), Eropah Barat (1970-an), Amerika Syarikat (1971), Kanada, Jerman (1972), Australia, Perancis (1974).

Ia diikuti pula negara India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan Asia pada 1980-an serta Jepun negara terakhir pada 2016.

Hal yang sama berlaku di negara Asean seperti di Indonesia dan Timor Leste iaitu pengundi termuda berusia 17 tahun.

Justeru negara lain menurunkan had umur kepada 18 tahun kecuali Malaysia dan Singapura.

Selain Malaysia dan Singapura, enam negara lain masih mengekalkan had umur 21 tahun ialah Kuwait, Lubnan, Oman, Cameroon, Samoa dan Tongga.

Maka timbul persoalan adakah pengundi muda berusia 18 tahun matang untuk memangkah dan memilih mereka yang layak bertanding sebagai calon pilihan raya.

Jika dilihat dari sudut kesesuaiannya usia 18 tahun diberikan peluang, kita perlu melihat di Malaysia, syarat umur 18 tahun dalam banyak perkara adalah syarat yang ditetapkan mengikut pelbagai perundangan lain yang berkuat kuasa di negara ini.

Alam Pekerjaan

Contohnya ialah anak muda ini telah tamat persekolahan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mereka bersedia untuk masuk ke alam pekerjaan.

Bagi yang memilih untuk tidak bekerja, mereka berpeluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi iaitu sama ada ke kolej atau universiti.

Di universiti pula, anak-anak muda diberikan pengetahuan dan pendedahan ilmu membolehkan mereka terlibat di dalam perbincangan di dalam kuliah.

Mereka juga digalakkan untuk menganjurkan aktiviti yang melibatkan kemahiran insaniah.

Maka, nilai murni seperti etika bekerja, pengurusan masa, berinteraksi dengan pegawai di universiti atau sesama sendiri mereka, memberikan ruang dan peluang bagi mereka untuk mengasah bakat kepimpinan dan juga kerja berpasukan.

Bagi anak muda yang tamat persekolahan, mereka berpeluang mencari pekerjaan atau menceburi bidang perniagaan.

Juga pada usia 18 tahun, anak muda diberikan kelayakan untuk memohon lesen memandu, contohnya. Mereka juga boleh menjalankan perniagaan serta dibolehkan menyertai pasukan keselamatan mendapatkan pekerjaan.

Justeru berdasarkan hujah sedemikian, penganalisis politik Dr. Nadrawina Isnin berpendapat anak-anak muda ini sudah ada kemampuan menggalas tanggungjawab sebagai anggota masyarakat.

Katanya generasi Y ini membesar dalam persekitaran yang jauh bezanya dengan generasi X dan ‘baby boomers’.

“Misalnya, suasana persekolahan dan persekitaran moden mempengaruhi pemikiran mereka.

“Selain itu, anak-anak muda ini juga terdedah kepada maklumat yang luas yang boleh dicapai dalam beberapa saat.

“Pengaruh media massa dan kepesatan teknologi maklumat menjadikan mereka lebih kreatif, pandai berdikari dan sentiasa maju ke hadapan dengan mempunyai pelbagai maklumat yang mungkin agak sukar untuk dicapai oleh generasi X atau ‘baby boomers’,” katanya.

Keupayaan

Namun, beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan 2 mengingatkan anak-anak muda berusia 18 tahun ini perlu bijak menilai berdasarkan pembacaan dan pemerhatian serta pergaulan mereka mengikut keadaan di sekeliling.

Katanya ia mungkin mengambil masa untuk mereka faham berkaitan senario yang berlaku di dalam negara, tetapi pada masa sama juga ia tidak bermaksud untuk menidakkan keupayaan berfikiran mereka secara kritis.

Di samping itu, beliau berharap tidak ada kumpulan atau individu tertentu yang boleh mempengaruhi fikiran anak-anak muda ini dengan apa jua unsur negatif.

“Yang paling penting ialah anak-anak muda perlu diberikan kepercayaan untuk bergerak maju dan memberikan mereka ruang dan peluang untuk membuktikan kepada generasi lama bahawa mereka boleh dipercayai,” tegasnya.

Manakala dari kaca mata penganalisis politik Datuk Peter Minos pula, usia 18 tahun mengundi adalah agak terlalu awal, memandangkan seseorang seawal usia itu belum mempunyai pendapat sepenuhnya atau segalanya.

Namun dalam usia dan era ini, kerajaan merasakan ia adalah permulaan usia yang baik untuk seseorang tahu mengundi dan mengamalkan hak demokratik.

“Sekarang zaman komputer, Youtube dan info dari teknologi maklumat serta telefon bimbit, menjadikan mereka yang berusia 18 tahun dirasakan boleh berfikir, bermaklumat dan peka politik serta pembangunan dan banyak lagi.

“Bagaimanapun seperti pendapat sesetengah orang, jika ia sebagai cara Pakatan Harapan (PH) untuk menarik perhatian golongan 18 tahun ke atas supaya menyokong mereka, ini adalah politik yang keterlaluan,” katanya.

Walau apa pun, muda atau tua, perkara paling penting bagi setiap pengundi adalah harus mempunyai harapan dan aspirasi.