SADONG JAYA: Tua Pek Kong Semera Laut, di sini, berpotensi untuk diketengahkan sebagai salah satu destinasi pelancongan tempatan khususnya di kawasan luar bandar Sarawak.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, perkara ini kerana ia bukan sahaja rumah ibadat masyarakat di kawasan itu, tetapi juga sebagai simbol warisan budaya.
Katanya, meskipun tokong tersebut bersaiz kecil, namun ia tetap memainkan peranan besar dalam memperkukuh ikatan komuniti menerusi pelbagai aktiviti termasuk keagamaan, kebudayaan dan kebajikan.


“Tokong ini bukan sahaja menjadi tempat ibadat, malah pusat penganjuran acara seperti jamuan perayaan dan aktiviti kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Perkara ini juga melambangkan kekuatan dan perpaduan komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-48 Persatuan Penganut Tua Pek Kong Semera Laut, di sini, malam tadi.
Tambahnya, usaha tersebut juga sejajar dengan aspirasi Kerajaan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk memperkukuh ekonomi luar bandar melalui pemerkasaan komuniti dan pelancongan budaya.
Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu bahawa sehingga kini, tokong itu juga telah menjalani pelbagai penambahbaikan infrastruktur termasuk pembinaan pintu gerbang baharu yang dirasmikan semasa majlis tersebut.
Menurutnya, beliau menyambut baik usaha masyarakat tempatan dalam menjaga rumah ibadat seperti ini kerana ia bukan sahaja mencerminkan keutuhan kepercayaan, malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan.
“Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga telah memperuntukkan sebanyak RM110 juta kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi tahun 2025 untuk pembangunan dan penyelenggaraan rumah ibadat serta aktiviti keagamaan di Sarawak.
“Ini sebagai sebahagian daripada komitmen beliau terhadap pembangunan inklusif untuk semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan ADUN Sadong Jaya, Datuk Ir. Aidel Lariwoo bagi menyokong pembangunan infrastruktur berkaitan rumah ibadat dan program keagamaan setempat.
“Usaha ini penting supaya generasi muda menyambung warisan budaya agar ia tidak hilang ditelan zaman – jika ia tidak berlaku, maka apa yang kita banggakan hari ini akan menjadi sia-sia.
“Pintu gerbang yang tersergam indah ini bukan sahaja simbol kemegahan Tua Pek Kong, malah menjadi lambang perpaduan masyarakat Tiong Hua dalam memupuk keharmonian dengan kaum lain,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Temenggung Liew Shark Sen selaku Pengerusi Majlis dan ABS Tan Kim Siew selaku Pengerusi Tokong, serta seluruh jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan sambutan ulang tahun tersebut.



