KUCHING: Kilang milik Borneo Highland Orchard berupaya menghasilkan lebih 2,300 kilogram cendawan butang dalam tempoh tiga bulan.
Pengurus Eco Farm Solutions Sdn Bhd, Izzy Ng berkata, fasiliti penanaman cendawan berkenaan telah mula beroperasi sepenuhnya sejak Disember 2025.
“Kilang ini merupakan satu-satunya fasiliti yang dimiliki dan dibangunkan oleh Borneo Highland Orchard di Sarawak.
“Dalam tempoh tiga bulan sahaja, syarikat ini mampu mengeluarkan lebih 2,300 kilogram cendawan butang,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata produk berkenaan kini dipasarkan di sekitar kawasan Kuching dan Sibu melibatkan beberapa rangkaian premis terpilih.
“Kapasiti penuh yang dihantar ke premis seperti Emart, Choice dan pusat jualan daging adalah sebanyak 10 kilogram setiap bulan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa tahap kesegaran dan kualiti produk tersebut dapat dikekalkan sekiranya disimpan pada suhu yang optimum.
“Cendawan ini perlu disimpan pada suhu bawah empat darjah Celsius dan mampu bertahan sehingga tujuh hari sekiranya dikendalikan dengan cara yang betul,” jelas beliau.
Terdahulu, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom hadir bagi mengadakan lawatan kerja ke kilang Borneo Highland Orchard di Ibu Pejabat Green Breeder.



