Tubuh kumpulan sukarelawan belia surau dan masjid

BINTANGOR: Jawatankuasa pengurusan masjid dan surau digalak menubuhkan kumpulan sukarelawan belia kampung yang boleh membantu apabila diperlukan.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol berkata, penglibatan golongan muda itu penting bagi mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah selain mengelak mereka daripada terjebak dalam gelaja sosial.

Katanya, antara aktiviti boleh dilakukan termasuk pengurusan jenazah, kelas bacaan al-Quran dan program lain yang mampu menarik minat golongan berkenaan.

Kumpulan Sukarelawan Belia Masjid Surau ini mengalak penglibatan warga belia dalam aktiviti kerohanian dan kebajikan.

“Apabila ada kematian misalnya, warga belia boleh membantu mengurus dan menyempurnakan jenazah,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Masjid dan Surau dalam Kawasan N42 Semop Sempena Sambutan Raya Haji 2019, di Surau Darul Ehsan Jalan Bidadari di sini, hari ini.

Beliau juga menggesa jawatankuasa masjid dan surau agar berganding bahu bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terutama dalam aktiviti yang merapatkan silaturahim.

Pada masa yang sama katanya, mereka juga bertanggungjawab memastikan keadaan fizikal masjid dan surau dalam keadaan baik dan selesa.

Sempat menyampaikan amanat sebelum menghulurkan sumbangan.

Menurutnya, antara tumpuan beliau ialah menaik taraf atau membina baru beberapa masjid di kawasan N42 Semop kerana ada antaranya semakin usang dan tidak dapat menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat.

“Saya sedia membantu dan menyumbang dana bagi menjayakan program seumpamanya. Bagaimana pun, saya menyeru jawatankuasa agar memanfaatkan peruntukan dengan bijak.

“Pengurusan serta rekod kewangan masjid dan surau harus dikemaskini, teratur dan telus, katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop.

Pada majlis itu, sejumlah RM179,500 sumbangan disampaikan.

RM117,500 daripada Abdullah, RM53,000 daripada Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIR) (RM9,000).

Untuk 15 masjid dan empat surau, Abdullah dan Yusuf menyumbang RM123,000. Setiap masjid menerima RM7,000, dan surau RM4,500.

Abdullah menyumbang RM4,000 untuk setiap masjid, manakala Yusuf menyediakan RM3,000 setiap satu.

Abdullah menyampaikan sumbangan kepada jawatankuasa pengurusan masjid Tanjung Bundung.

Bagi setiap surau, Abdullah memperuntukkan RM2,500, manakala Yusuf RM2,000.

Beliau juga mencadangkan jawatankuasa memanfaatkan dana tersebut untuk membeli lembu korban bagi mewakili setiap qariah dan jemaah masjid.

Pada majlis itu, Abdullah turut menyampaikan dana kepada PIBG SMK Semop berjumlah RM2,500; PIBG SK Teluk Gelam (RM2,000); PIBG SK Bruit (RM3,000).

JKKK Kampung Semop menerima RM40,000 bagi Projek Pembinaan  Pondok Penyimpanan Perkakas Dapur JKKK Kampung Semop dan Projek Menaik Taraf Tempat Letak kenderaan Dewan Kampung Semop.

Turut diserahkan, sumbangan daripada LAKIR kepada Kampung Sebako, Paloh dan Kedang. Masing-masing menerima RM3,000.

Selain itu Abdullah turut menghadiri majlis seumpamanya di Masjid Al Amin Semop dan Masjid Kampung Tanjung Bundung, Bintangor.