TUDM bantu sampaikan bantuan untuk petugas kesihatan

KUCHING: Dua pesawat milik Tentera Udara –Diraja Malaysia (TUDM) menghantar lebih 2.9 juta topeng muka, 44 unit kotak perlindungan, spesimen klinikal tambahan kepada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Sarawak dan Sabah.

Turut dihantar adalah keperluan peralatan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan kumpulan barisan hadapan mendepani pandemik Covid-19. TUDM dalam suatu kenyataan pada 10 April lalu berkata, pesawat yang pertama membawa 2.9 juta topeng muka daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berlepas dari Pangkalan Udara Subang jam 8.15 pagi sebelum tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu kelmarin.

“Topeng muka ini diterima oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah selaku Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah. “Sebanyak 2.86 juta topeng muka disalurkan kepada Sabah dan 107,500 lagi disalurkan kepada Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Tambahnya lagi, TUDM juga bakal melaksanakan satu lagi penerbangan dalam masa terdekat ini bagi membawa 2,718,500 topeng muka daripada Nadma untuk Sarawak.

“Pesawat kedua pula membawa 44 unit kotak perlindungan sumbangan Persatuan Bekas Putera (OPA) untuk Jabatan Kesihatan Sabah dan spesimen klinikal tambahan untuk fasiliti KKM di sana.

“Pesawat ini melaksanakan penerbangan ke Kota Kinabalu dan Kuching bagi penghantaran barang-barang tersebut.

“Spesimen klinikal tambahan KKM terdiri daripada bekalan peralatan makmal, farmasi, PPE dan peralatan perubatan kritikal untuk disalurkan kepada Jabatan Kesihatan Sabah dan Sarawak yang disumbangkan oleh KKM, Malaysia Relief Agency (MRA) dan Nadma,” jelasnya.

Suara Sarawak