PADAWAN: Pelaksanaan kerja-kerja infrastruktur seperti naik taraf jalan dilaksanakan berdasarkan penilaian teknikal, status tanah dan ketersediaan dana, kata Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai.
Respons tersebut susulan dakwaan pembantu khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong berhubung keadaan akses jalan dan perkhidmatan kutipan sampah di Lot 895, Jalan Kung Phin.
Menurutnya, MPP memahami kebimbangan yang disuarakan penduduk, namun penting untuk dinyatakan bahawa sebahagian laluan jalan yang dimaksudkan berada di atas tanah persendirian.
“Di bawah peraturan semasa, MPP tidak dibenarkan menggunakan dana hasil cukai taksiran untuk menaik taraf jalan persendirian,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Berhubung dakwaan layanan dua darjat, beliau menegaskan bahawa tuduhan tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan.
“Pada tahun 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang berjaya membuka beberapa jalan melalui inisiatif Projek Rakyat bernilai hampir RM1 juta dengan MPP sebagai agensi pelaksana.
“Usaha yang sama turut dilaksanakan oleh ADUN Batu Kawa, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, yang giat melaksanakan pelbagai projek infrastruktur termasuk kerja naik taraf jalan, hasil daripada penggunaan dana ADUN secara proaktif bagi menyokong penambahbaikan di kawasannya.
Tan Kai turut kecewa kerana Chong membenarkan Michael mempolitikkan isu ini dan bukannya bekerjasama secara konstruktif dengan MPP untuk menyelesaikannya menerusi saluran yang betul dan dana yang tersedia.
“Ini amat dikesali memandangkan kedua-dua kawasan Batu Kitang dan Batu Kawa terletak dalam kawasan Parlimen Stampin yang diwakili oleh Chong.
“Saya menyeru Chong yang menerima peruntukan tahunan sebanyak RM4.2 juta agar mengambil tanggungjawab secara proaktif dan menggunakan dana tersebut untuk membantu rakyat.
“Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini sahaja, jumlah keseluruhan peruntukan melebihi RM10 juta, namun tiada satu disalurkan bagi tujuan penambahbaikan infrastruktur di kawasan beliau,” ujarnya.
Beliau turut menggesa agar wakil rakyat daripada pihak pembangkang mengutamakan keperluan rakyat dan bekerjasama dengan MPP bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan.
“Kenyataan politik tanpa tindakan nyata tidak akan memperbaiki keadaan sebenar di lapangan,” tambahnya.
Tegasnya, MPP tetap komited memainkan peranannya dalam memantau, menyelaras maklum balas dan menjalin kerjasama sewajarnya bagi menjadikan Padawan sebuah kawasan yang bersih, selamat dan selesa untuk semua.


