KUCHING: Tujuh acara utama disusun bagi memeriahkan Sambutan Perayaan Hari Lahir Rasmi Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober ini.
Sambutan selama empat hari itu dimulakan dengan Majlis Kesyukuran di Masjid Jamek pada 8 Oktober, disusuli Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain pada 9 Oktober.
Kemuncak sambutan pada 10 Oktober pula menyaksikan pelbagai acara rasmi termasuk Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa di Padang Merdeka, Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Negeri Sarawak, Majlis Jamuan Negeri serta Konsert Rakyat.
Sambutan kemudiannya diakhiri dengan Majlis Jamuan Teh pada 11 Oktober.
Hari ini, Tun Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Sambutan Astana Negeri bagi menyampaikan jemputan rasmi berhubung sambutan berkenaan.
Kunjungan hormat itu diketuai Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi, selaku Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan berkenaan.
Selain menyampaikan warkah persilaan rasmi, kunjungan itu turut memberi ruang kepada jawatankuasa induk menyampaikan taklimat berkaitan persiapan dan pengisian program yang dijadualkan berlangsung selama empat hari.
Tun Wan Junaidi dan isteri turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli jawatankuasa induk serta semua pihak yang terlibat atas komitmen dan usaha memastikan persiapan sambutan berjalan lancar.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Industri Makanan), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Datuk Maclaine @ Martin Ben; serta Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Harry Jinep.


