ARTIKEL

Tujuh dekad menabur bakti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADA usia 87 tahun, Dayang Bugo @ Hanipah kini menjalani kehidupan yang lebih tenang di kediamannya di Taman Rasa Jaya, Kuching.

Di situlah beliau menikmati usia emas selepas puluhan tahun menabur bakti kepada masyarakat dalam bidang pendidikan, kebajikan, agama dan pembangunan komuniti.

Meniti usia senja, Dayang sering mengimbau perjalanan hidupnya yang penuh warna-warni, disertai pelbagai perjuangan dan pengorbanan yang membentuk dirinya hari ini.

Dilahirkan pada 13 Ogos 1938 di Kampung Sungai Bedil Besar, Kuching, beliau dibesarkan dalam keluarga besar yang penuh dengan kasih sayang dan keriuhan.

Dayang merupakan anak kelima daripada 11 adik-beradik yang terdiri daripada tiga lelaki dan lapan perempuan.

Latar belakang keluarganya juga cukup unik. Bapanya, Bugo Keria, mempunyai susur galur keturunan dari Jakarta, Jawa, manakala ibunya, Sena Mami, merupakan wanita berketurunan Cina Hakka yang dijaga oleh keluarga Melayu sejak lahir.

CINTAKAN ILMU SEJAK KECIL

Dayang memulakan alam persekolahan pada 1946 di Sekolah Encik Buyong sebelum meneruskan persekolahan di Sekolah Rakyat Kampung Tanjung pada 1948.

Minatnya terhadap ilmu sentiasa mendapat sokongan keluarga, terutamanya bapanya.

Pada awal 1952, beliau menyambung pengajian di Sekolah Agama Taman Pendidikan Wanita.

Ketika menuntut di sekolah tersebut, Dayang bukan sahaja aktif dalam pelbagai persatuan, malah turut menunjukkan minat dalam bidang penulisan dan seni.

Beliau pernah menulis cerita pendek untuk akhbar dan majalah tempatan, selain menghasilkan skrip drama radio serta terlibat dalam drama berkenaan.

Semangat untuk berbakti kepada masyarakat mula berkembang selepas beliau menamatkan pengajian.

Beliau kemudiannya menjadi guru di sekolah yang sama, yang ketika itu dikendalikan oleh Datuk Ajibah Abol.

MEMBASMI BUTA HURUF

Melihat keadaan pada ketika itu apabila masih ramai wanita tidak mempunyai kemahiran membaca dan menulis, Dayang bersama-sama beberapa guru mengambil inisiatif menubuhkan Kelas Membasmi Buta Huruf (KMBH).

Kelas tersebut diwujudkan khusus untuk membantu masyarakat tempatan yang tidak berpeluang memperoleh pendidikan asas.

Dayang dan rakan-rakannya mengajar di pelbagai tempat, termasuk menumpang di sekolah, surau dan kediaman penduduk yang berminat untuk belajar.

Pelbagai mata pelajaran turut diajar, antaranya Bahasa Inggeris, pendidikan agama, mengaji al-Quran, jahitan dan masakan.

Bagi mereka, kekurangan kemudahan bukan alasan untuk menghentikan usaha menyebarkan ilmu.

Yang penting ialah memastikan masyarakat, khususnya golongan wanita, memperoleh peluang untuk belajar dan meningkatkan pengetahuan.

Pada 1961, parti tempatan Sarawak ketika itu, Parti Negara, menubuhkan Sekolah Agama Wanita dan Dayang bersama-sama seorang rakannya dipelawa untuk mengajar di sekolah tersebut.

USAHA MEMBINA SEKOLAH

Kegigihan beliau dan rakan-rakan dalam menyebarkan ilmu kemudiannya mendapat perhatian Gabungan Pertubuhan Melayu Seberang Ulu.

Pertubuhan itu mengambil keputusan untuk membina semula beberapa sekolah, antaranya Sekolah Rakyat Tupong, Sekolah Encik Buyong dan Sekolah Gersik. Namun, usaha tersebut memerlukan dana yang besar.

Sekali lagi, Dayang bersama-sama rakan seperjuangannya tampil membantu.

Pelbagai aktiviti kutipan dana dijalankan, termasuk mengutip sumbangan dari rumah ke rumah, menganjurkan konsert di Padang Simpang Empat, Kampung Lintang serta mengadakan pasar ria.

Usaha itu menjadi sebahagian daripada perjuangan mereka untuk memastikan masyarakat mendapat akses kepada pendidikan yang lebih baik.

AKTIF DALAM KEBAJIKAN

Selepas berkahwin, Dayang menyertai Pertubuhan Kebajikan Islam Sarawak (PERKIS) dan terus bergiat aktif dalam pelbagai program kebajikan masyarakat.

Hanya selepas dua bulan menjadi ahli, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Tertinggi pertubuhan tersebut.

Pelantikan itu menyaksikan beliau semakin aktif dalam pelbagai kegiatan seperti seminar, kursus serta lawatan kebajikan ke hospital dan rumah kebajikan di seluruh negara.

Perjuangan beliau diteruskan apabila menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam usaha memperjuangkan kepentingan rakyat dan memperkukuh perpaduan ummah.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Tertinggi Biro Agama Wanita PBB.

Melalui tanggungjawab itu, Dayang ditugaskan untuk mengajar di lebih 10 masjid sekitar Petra Jaya dan Samarahan.

Antara bidang yang diajarnya termasuk fardu ain, fardu kifayah, sejarah, berzanji, nasyid dan mengaji al-Quran.

KELUARGA TETAP KEUTAMAAN

Di sebalik kesibukannya dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, Dayang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak.

Sekitar 1980-an, beliau membuat keputusan besar untuk meletakkan jawatan dan berhenti mengajar di sekolah formal selepas ibunya, Sena, jatuh sakit.

Keputusan itu dibuat bagi membolehkannya memberikan perhatian sepenuhnya kepada ibunya yang memerlukan penjagaan.

Walaupun melepaskan jawatan rasmi, kecintaannya terhadap ilmu dan dakwah tidak pernah terhenti.

Sebaliknya, beliau terus mengajar al-Quran di kediamannya sendiri.

Menurut Dayang, mengajar mengaji merupakan antara perkara yang paling dekat di hatinya.

Beliau mula menjadi guru al-Quran sejak berusia 17 tahun dan meneruskan tanggungjawab itu sehingga kini pada usia 87 tahun.

Bagi Dayang, pintu rumahnya sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu belajar mengaji.

Anak muridnya datang daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak, orang dewasa dan golongan mualaf.

Lebih tujuh dekad berlalu sejak beliau mula mengajar, tetapi semangatnya masih sama.

Bagi Dayang, ilmu bukan sesuatu yang harus disimpan untuk diri sendiri, sebaliknya perlu dikongsi agar terus memberi manfaat kepada generasi seterusnya.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU