SEBUYAU: Sarawak Water Sdn Bhd dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak kini giat menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca kehilangan tujuh juta liter air sehari di bahagian Samarahan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, kehilangan itu dikesan apabila bekalan air daripada Loji Air Batu Kitang yang sepatutnya menyalurkan 45 juta liter sehari menyusut kepada 38 juta liter sehari.
“Kita menerima sumber daripada loji air di Kuching dan bacaan meter oleh Sarawak Water menunjukkan berlaku penurunan jumlah penerimaan air, sekali gus menimbulkan kemungkinan berlakunya kebocoran serius atau penyaluran air tanpa kebenaran,” katanya.
Menurut beliau, sumber bekalan air pada asasnya tidak mempunyai masalah, namun cabaran teknikal tersebut menyebabkan tekanan air terjejas sehingga menimbulkan kesulitan kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke projek pembinaan Sistem Akut Sebangan di tapak projek berkenaan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau tidak menafikan kemungkinan berlakunya kecurian air melalui pelbagai kaedah, termasuk penyambungan haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Justeru, beliau menasihatkan pihak yang memerlukan bekalan air dalam kuantiti besar supaya berdaftar dengan JBALB bagi mendapatkan saluran air secara sah.
“JBALB memperoleh bekalan air daripada Loji Air Batu Kitang dengan membuat bayaran kepada Sarawak Water, bekalan tersebut bukan diperoleh secara percuma.
“Jadi, apabila pihak lain menggunakan air secara tidak sah tanpa bayaran, tindakan itu tidak wajar kerana bekalan air merupakan keperluan asas rakyat yang perlu diurus secara bertanggungjawab,” tegas beliau.
Julaihi menambah, penelitian rapi sedang dilakukan bagi memastikan sumber air tidak dibazirkan atau digunakan secara tidak berhemah oleh pihak tertentu.
Beliau menegaskan isu tersebut dipandang serius kerana tidak mahu gangguan tekanan air terus menjejaskan keperluan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Saya harap siasatan dapat mengenal pasti punca sebenar masalah ini berlaku dan dapat diselesaikan dalam keadaan yang baik,” katanya.



