BINTULU: Polis menahan tujuh lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kejadian pergaduhan di tempat letak kenderaan di hadapan sebuah kedai runcit di sini yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Nixon Joshua Ali, berkata pihaknya mengambil tindakan selepas video kejadian berkenaan dimuat naik di beberapa laman media sosial pada 21 Ogos lalu.
Beliau berkata Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu kemudian menjalankan tindakan susulan dan berjaya menahan tujuh lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham berkaitan kemalangan kenderaan dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang unsur gangsterisme.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya dalam satu kenyataan media.
Nixon berkata kesemua suspek telah direman bagi membantu siasatan lanjut dan siasatan akan disegerakan untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak benar berkaitan kejadian berkenaan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat serta menjejaskan ketenteraman awam.
“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan kejadian jenayah kepada Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318804 bagi membantu pihak polis membendung kegiatan jenayah demi kesejahteraan semua pihak,” katanya.



