SARIKEI: Tujuh daripada lapan mangsa yang terkorban dalam kemalangan ngeri melibatkan kenderaan Perodua Alza di Lebuh Raya Pan Borneo semalam, dikenal pasti berasal dari Indonesia.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis, berkata umur mangsa dalam lingkungan 16 hingga 53 tahun.
“Insiden ini disebabkan pemandu Perodua Alza lari daripada pemeriksaan sebuah kereta peronda polis dan bertindak dengan memecut kenderaannya sehingga menggunakan jalan bertentangan bermula di lencongan simpang bulat.
“Pihak polis peronda telah membunyikan siren sebagai amaran memandangkan kenderaan tersebut melawan arus.
“Namun, tiba di Jambatan Sungai Nyelong, kenderaan tersebut telah bertembung dengan sebuah Hilux yang dinaiki oleh seorang lelaki dan perempuan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, akibat kemalangan ini, kesemua pemandu dan penumpang Perodua Alza tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Sarikei.
Jelasnya, mayat kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat manakala pemandu dan penumpang Hilux mengalami kecederaan ringan.
Sehubungan itu, Aswandy turut memberitahu bahawa pihaknya telah menghubungi Konsulat Indonesia bagi mengenal pasti kesemua warga Indonesia tersebut.
“Siasatan lanjut turut dilakukan untuk mengenal pasti sama ada kesemua mereka masuk ke Malaysia melalui jalan yang sah atau tidak.
“Difahamkan, kenderaan Perodua Alza yang membawa mangsa dari arah Kuching menuju ke utara,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987 dan masih dalam siasatan lanjut.
Pihak polis menyeru mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Ahmad Mustaqim Idris, di talian 010-4427240 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Tambahnya, pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang jalan raya bagi memastikan keselamatan diri dan pengguna yang lain terjaga.



