KUCHING: Seorang tekong kapal nelayan rakyat Vietnam didenda RM100,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen hari ini, atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan dalam perairan Malaysia.
Tertuduh Nguyen Van Dong, 45, mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan oleh seorang jurubahasa di hadapan Hakim Maris Agan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh merupakan warganegara Vietnam gagal memaklumkan kepada pegawai berkuasa melalui radio, teleks, atau faksimili menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris tentang nama, bendera, lokasi, jalan, destinasi, jumlah ikan yang dibawa dan keadaan kapal berkenaan ketika memasuki perairan Malaysia.
Kesalahan tersebut dilakukan di perairan Malaysia pada jarak 93.1 batu nautika dari Tanjung Sirik, Sarawak, sekitar jam 7.40 pagi, 7 September lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16 (1) Akta Perikanan 1985.
Selain itu, enam orang kru kapal masing-masing didenda RM50,000 atau penjara dua bulan atas kesalahan menangkap ikan dalam perairan perikanan Malaysia.
Tertuduh ialah Nguyen Minh Tuan, 26, Nguyen Minh Hung, 23, Nguyen Minh Cuong, 21, Chu Van Tuan, 21, Tran Bao Quoc, 25, dan Tran Cong Minh,23.
Kesemua tertuduh didakwa di bawah Sekyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 dibaca bersama Seksyen 24 Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.
Jika disabit bersalah, boleh di denda maksimum RM6 juta bagi pemilik atau ketua, dan RM600,000 untuk kru kapal.
Menurut fakta kes, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah membuat operasi pemantauan di bawah Op Pemantauan Pencerobohan Bot Nelayan Asing pada 7 September lepas.
Hasil rondaan mendapati sebuah kapal nelayan asing yang mencurigakan berada di perairan perikanan Malaysia pada jarak 167 batu nautika dari Tanjung Po sekitar jam 7.40 pagi.
Kemudian, pihak Maritim menahan dan membawa tujuh kru kapal termasuk tekong yang dipercayai warganegara Vietnam ke Jeti APMM Kuching untuk siasatan lanjut.
Barang-barang turut dirampas seperti enjin kapal, GPS Furuno, kompas, radio, pukat, jaring dan hasil tangkapan ikan seberat 1.3 tan.
Hasil siasatan, mendapati kapal nelayan asing berkenaan gagal memberi sebarang dokumen yang sah memasuki perairan Malaysia kerana berada pada 93.1 batu nautika dari Tanjung Sirik, Sarawak.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Ilham Kamaruddin.