KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus mencipta nama di persada antarabangsa apabila tujuh pensyarahnya dinobatkan sebagai ‘World’s Top 2% Scientists 2025’.
Pengiktirafan itu sekali gus mengangkat reputasi UNIMAS sebagai institusi yang bukan sahaja melahirkan graduan berkualiti, malah menjadi pusat kecemerlangan penyelidikan bertaraf global.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata, kejayaan tersebut membuktikan kualiti tenaga pengajar universiti itu setanding dengan saintis terbaik dunia.
“Hasrat kami ialah melahirkan graduan bukan sahaja berilmu, malah berpengalaman luas dalam penyelidikan agar dapat menyumbang kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pengiktirafan itu juga mencerminkan sumbangan besar para penyelidik UNIMAS kepada komuniti saintifik antarabangsa serta komitmen berterusan universiti terhadap inovasi dan penyelidikan berimpak tinggi.
Beliau berharap lebih ramai pensyarah UNIMAS akan tersenarai dalam kedudukan berprestij itu pada masa depan.





