KUCHING: Seorang tukang cuci kereta dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana mengambil kesempatan melarikan kereta pelanggan jenis Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) mewah yang dicucinya dengan niat hendak dijual dengan harga RM3,000 di media sosial.
Muhammad Hafis Sulaiman, 27, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Hafis didakwa di bawah Seksyen 406 Kanun keseksaan, kerana melakukan pecah amanah apabila tidak berlaku jujur menggunakan harta yang diamanahkan untuk dijaga iaitu sebuah kereta jenis Kenderaan Utiliti Sukan mewah Toyota Harrier dengan melarikan kenderaan terbabit.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah tempat cuci kereta di Batu Kawa, pada 31 Mei lepas.
Berdasarkan fakta kes, hasil siasatan mendedahkan bahawa pengadu menghantar keretanya ke premis tempat cuci kereta untuk mencuci keseluruhan bahagian di dalam dan luar kereta tersebut.
Pengadu diminta untuk meninggalkan kereta selama tempoh seminggu untuk dicuci dan pengadu bersetuju meninggalkan keretanya di premis terbabit lalu menyerahkan kuncinya kepada tertuduh.
Selepas seminggu, pengadu datang semula ke premis tersebut hendak mengambil keretanya, namun dia mendapati kereta tersebut tidak ada di premis berkenaan.
Pengadu lalu bertanya kepada pengurus kedai dan pengurus memaklumkan bahawa kereta itu dilarikan oleh tertuduh tanpa pengetahuannya.
Selain itu, pengurus kedai turut memaklumkan bahawa tertuduh tiga hari tidak datang bekerja setelah membawa lari kereta pengadu.
Laporan polis dibuat oleh pengadu untuk tindakan dan siasatan lanjut dan tertuduh berjaya ditangkap oleh pihak polis dari Pasukan Gerakan Khas di Kampung Sibakar Jalan Puncak Borneo, pada 6 Jun lepas.
Semasa dalam siasatan, tertuduh mengaku menggunakan kenderaan tersebut ke kampung berkenaan yang berdekatan dengan sempadan negara Indonesia untuk tujuan peribadi.
Muhammad Hafis juga mengaku membuat iklan melalui aplikasi Whatapps untuk menjual kereta tersebut dengan harga RM3,000 tetapi dipadamkannya.
Oleh itu, tertuduh melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang kerana dia diamanahkan untuk mencuci kereta pelanggan tetapi mengambil kesempatan dengan niat curang melarikan kereta itu untuk tujuan dijual.



