KUCHING: Mantan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Almarhum Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merupakan seorang pemimpin berwawasan serta amat prihatin terhadap isu pembangunan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, melalui pengetahuan serta pengalaman Almarhum dalam politik pembangunan, kemajuan pembangunan telah berjaya dibawa ke negeri ini.
“Almarhum amat memberikan penekanan yang kuat kepada pembangunan Sarawak, terutamanya pembangunan tenaga hidro yang telah berjaya meletakkan asas kukuh bagi Sarawak hari ini untuk menuju ke arah ekonomi tenaga hijau.
“Di samping itu, keprihatinan Allahyarham terhadap pembangunan juga telah berjaya mengangkat serta mengiktiraf Miri sebagai sebuah bandar raya.
“Almarhum amat menyokong visi Miri untuk menjadi sebuah bandar raya, dan beliau secara peribadi meminta saya bekerjasama rapat dengan Datuk Patinggi George Chan bagi merealisasikan rancangannya untuk membangunkan Miri.
“Namun, bagi menjadikan Miri sebuah bandar raya, ia mesti mempunyai universiti, dan apabila kami memberitahunya bahawa Universiti Curtin bersedia menubuhkan sebuah kampus di Miri, Almarhum secara peribadi pergi ke Perth untuk bertemu dengan pihak pengurusan universiti sehingga tertubuhnya sebuah cawangan di Miri,” katanya.
Kim Shin berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan kepada Mantan TYT Yang di-Pertua Negeri pada Persidangan DUN Sarawak ke-19 di sini hari ini.
Selain itu, katanya, Almarhum juga telah meletakkan asas yang baik bagi peluang pendidikan untuk pelajar Sarawak dengan menubuhkan Curtin, Universiti Swinburne, Kolej Laila Taib dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS), selain memainkan peranan penting dalam penubuhan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Sementara itu, Kim Shin juga mengenang salah satu legasi berkekalan yang bermula pada zaman pemerintahan Almarhum, iaitu Perarakan Krismas Miri yang melambangkan keharmonian agama dan sikap saling hormati menghormati dalam kalangan rakyat.





