BANGKOK: Kerajaan Sarawak menunggu pengumuman rasmi insentif daripada Kerajaan Persekutuan bagi atlet yang memenangi pingat dalam Sukan SEA 2025 sebelum memberi ganjaran tambahan kepada atlet Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, lebih 50 atlet Sarawak mewakili Malaysia dalam Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand.
“Sekiranya mereka mendapat tempat di podium sama ada pingat emas, perak atau gangsa, mesti ada insentif-insentif tertentu yang akan dimaklumkan kemudian.
“Selalunya kita akan beri separuh daripada apa yang kerajaan persekutuan beri,” katanya ketika ditemui di sebuah restoran dalam satu lawatan fasiliti Sukan SEA 2025 di Bangkok hari ini, bagi tujuan persiapan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak ingin memastikan insentif yang diberikan bersesuaian dengan pencapaian atlet di peringkat antarabangsa.
Abdul Karim berkata, ganjaran diberikan bukan sahaja ketika atlet menang, tetapi juga dalam bentuk insentif awal untuk perbelanjaan di tempat bertanding.
“Insentif ini dibayar terus ke akaun atlet dan ini akan memberi impak positif terhadap prestasi mereka.
“Insentif yang diberikan bukan sahaja untuk Sukan SEA, malah turut melibatkan Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik,” jelasnya.
Kerajaan Sarawak yakin pemberian insentif ini akan meningkatkan semangat dan motivasi atlet dalam memberikan prestasi terbaik bagi Malaysia.
Selain itu, usaha ini juga selaras dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebagai satu kuasa besar sukan yang melahirkan atlet cemerlang dan sistem sokongan yang mantap.



