BINTULU: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu terus diperkasa bagi memastikan bekalan tenaga kerja mahir mencukupi untuk menyokong pembangunan pesat Bintulu sebagai hab minyak dan gas, ekonomi hidrogen, tenaga boleh diperbaharui serta teknologi rendah karbon di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, berkata keperluan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dijangka terus meningkat sejajar dengan pelbagai pelaburan strategik dan pembangunan industri yang sedang dilaksanakan di Bintulu.
Menurut beliau, institusi TVET memainkan peranan penting dalam menyediakan modal insan yang bukan sahaja memiliki pengetahuan teknikal, malah mampu memenuhi keperluan industri yang semakin dipacu teknologi serta inovasi.
“TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya menjadi laluan utama dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri.
“Dengan perkembangan pesat sektor minyak dan gas, ekonomi hidrogen serta teknologi rendah karbon di Sarawak, kita memerlukan lebih ramai tenaga kerja yang kompeten, profesional dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvokesyen Ke-10 TVETMARA Bintulu yang berlangsung di sebuah hotel di sini hari ini.
Iskandar berkata pembangunan pesat Bintulu sebagai antara pusat industri dan tenaga utama di Sarawak memerlukan ekosistem pendidikan yang mampu melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta bersedia menyertai sektor strategik yang menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Katanya, institusi seperti TVETMARA Bintulu mempunyai peranan strategik dalam membekalkan tenaga kerja yang dilengkapi kemahiran praktikal, kompetensi teknikal dan kebolehan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pantas.
Beliau turut menggesa graduan TVET supaya terus meningkatkan kemahiran, menguasai teknologi baharu serta memperkukuh kebolehpasaran diri bagi memastikan mereka kekal relevan dalam pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif.
“Keperluan terhadap tenaga kerja mahir akan terus meningkat seiring perkembangan sektor industri dan teknologi.
“Justeru, para graduan perlu memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk membina kerjaya, di samping menyumbang kepada pembangunan Bintulu, Sarawak dan negara,” katanya.
Pada majlis berkenaan, seramai 276 graduan menerima sijil dan diploma selepas berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang teknikal dan vokasional.
Iskandar berkata kejayaan para graduan itu membuktikan kesungguhan dan komitmen mereka dalam menguasai ilmu serta kemahiran yang diperlukan industri, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk menyertai sektor pekerjaan berpendapatan tinggi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan tenaga pengajar TVETMARA Bintulu atas komitmen mereka dalam melahirkan graduan berkualiti, selain menghargai pengorbanan ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh pengajian anak-anak mereka.
“Saya amat berbangga melihat peranan yang dimainkan oleh TVETMARA Bintulu dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.
“Semoga semua graduan terus melakar kecemerlangan, memanfaatkan ilmu yang diperoleh dan menjadi aset berharga kepada Sarawak serta Malaysia,” katanya.



