SHAH ALAM: TV Sarawak (TVS) diumumkan sebagai salah satu rakan penyiar rasmi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 yang akan berlangsung di Selangor pada tahun depan.
Pengumuman itu dibuat sebagai sebahagian daripada persediaan rapi menjelang temasya sukan terbesar negara, yang menyaksikan Selangor kembali menjadi tuan rumah selepas 28 tahun.
Ketua Bahagian Kandungan Kreatif TVS, Jamal Abdullah, menerima ‘mock cheque’ daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Majlis Pelancaran Logo dan Maskot SUKMA Selangor 2026 sebagai simbolik kerjasama rasmi antara kedua-dua pihak.
Selain TVS, beberapa rakan rasmi penyiaran lain turut terlibat bagi memastikan liputan menyeluruh sepanjang temasya, termasuk SGTV, ARQIVA UK, Astro dan Media Selangor.
Kerjasama strategik itu dijangka memperluas capaian liputan SUKMA 2026, bukan sahaja kepada penonton di seluruh Malaysia, malah ke peringkat antarabangsa.
Penganjuran SUKMA 2026 disifatkan bukan sekadar medan persaingan atlet, tetapi juga platform penting untuk mempamerkan potensi industri sukan sebagai pemacu ekonomi, seiring aspirasi kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Untuk rekod, Selangor kali terakhir menjadi tuan rumah SUKMA pada 1998. – TVS






