KUCHING: Presiden Twins Championships, Mohd. Fitri Omar mengakui kesilapan pihaknya yang tidak menjalinkan kerjasama dengan badan induk, Persatuan Tinju Amatur Sarawak (SABA) dalam penganjuran kejohanan tinju berprestij Twins Championships 103 2025 yang akan berlangsung di Stadium Sri Aman esok (Sabtu).
Tindakan itu telah mencetus salah faham membabitkan pelbagai isu berbangkit.
“Memang kita mengakui kesilapan kerana tidak memaklumkan kepada badan induk SABA mengenai penganjuran kejohanan ini.
“Perkara ini berlaku disebabkan salah faham antara rakan penganjur yang melibatkan salah seorang petinju sensasi Sarawak,” ujar Fitri ketika ditemui selepas pertemuan pihaknya dengan Presiden dan Timbalan Presiden SABA, Datuk Rahman Lariwoo serta Datuk Johnny Ting Su King sebentar tadi.
Menurut Fitri, beliau telah menjelaskan secara terperinci masalah yang timbul kepada barisan Exco SABA pada pertemuan tersebut.
Sebaik selesai menjelaskan kedudukan sebenar, Exco SABA serta dua individu penting terbabit menerima penjelasan itu secara positif.
Fitri menyatakan pihaknya sentiasa mengutamakan kerjasama dengan persatuan tinju negeri semasa menganjurkan acara di seluruh negara, namun kekeliruan di Sarawak berlaku disebabkan salah faham membabitkan pasukan penyelaras tempatan.
“Untuk meneruskan kejohanan itu, SABA menggariskan beberapa syarat utama iaitu meminta permohonan maaf bertulis rasmi daripada Twins Championships bersama petinju berkenaan,” kata Fitri.
Beliau menegaskan, pihaknya akan memenuhi syarat yang diminta oleh SABA kerana ia penting bagi memastikan kejohanan itu dijalankan dengan lancar dan sah.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada kepimpinan SABA atas pertemuan tersebut, sekali gus membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Presiden SABA, Datuk Rahman Lariwoo kerana sudi bertemu dengan kami dan membantu menyelesaikan isu ini. Kami hanya mahu memastikan kejohanan ini dapat berjalan lancar,” katanya.

Kuching City Perlu Atasi Keletihan, Kembali Temui Rentak
KUCHING: Faktor keletihan akibat jadual perjalanan yang padat dan perpindahan dari satu bandar ke bandar yang lain menjadi antara punca Kuching City FC masih bergelut



