TYT puji keterbukaan Orang Ulu

MIRI: Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud memuji semangat keterbukaan komuniti Orang Ulu yang berani merebut peluang dalam pembangunan negeri selama ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Mesra Saudara Kita Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA) di sini, semalam.

Menurutnya, pembangunan di negeri berkembang lebih pesat jika masyarakat terus mengamalkan sikap keterbukaan. “Semangat keterbukaan mereka yang mahu merebut peluang untuk turut serta dalam pembangunan mewujudkan banyak peluang,” jelasnya.

Tun Abdul Taib memberitahu, kejayaan komuniti Orang Ulu dalam pelbagai bidang pekerjaan memberikan teladan baik untuk kaum lain di Sarawak. Beliau turut menggesa orang muda agar bersiap sedia untuk menghadapi cabaran akibat perubahan waktu. “Dunia kini mengalami perubahan besar dalam pembangunan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak mempunyai kebolehan merancang masa hadapan sendiri untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030. Teks ucapan Abang Johari dibacakan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin.

Menurut Abang Johari, Kerajaan Sarawak membuat keputusan bahawa dasar pembangunan negeri mengikut kehendak dan acuan sendiri serta tidak bergantung seratus peratus kepada dasar Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Sarawak memberi tumpuan kepada empat teras strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Teras itu ialah pertanian moden, pelancongan dan perkhidmatan, pembangunan infrastruktur termasuk penyambungan Internet 5G dan pendidikan,” katanya.

Abang Johari menjelaskan, semua perancangan itu memerlukan keadaan sosial dan politik yang stabil untuk memberi tumpuan dalam merancakkan pelaksanaan rancangan demi kepentingan rakyat.

Hadir sama isteri Yang diPertua Negeri Toh Puan Ragad Kurdi Taib dan Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Suara Sarawak