ALOR SETAR: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi tiba di Istana Arau bagi menghadiri Majlis Santapan Malam Diraja di Istana Arau, Perlis.
Tun Wan Junaidi dan isteri berangkat tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, kira-kira 2.50 petang tadi disambut Menteri Besar Perlis Mohd. Shukri Ramli, Penasihat Undang-undang Perlis Zaimey Yang Ghazali dan isteri, Zuhainita Ujud, Ahli Mesyuarat Kerajaan Perlis (Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Pembangunan Luar Bandar) Abu Bakar Hamzah serta isteri, Faridah dan Datu Che Sulaiman Shapie bersama pegawai-pegawai kanan Kerajaan Perlis.

Keberangkatan ini atas undangan rasmi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail sempena Sambutan Jubli Perak yang menandakan 25 tahun pemerintahan baginda sebagai Raja Pemerintah Perlis.
Turut mengiringi sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan isteri, Datin Seri Zuraini Abdul Jaabar.
Majlis Santapan Malam Diraja ini merupakan acara kemuncak sambutan Jubli Perak.
Majlis penuh bersejarah ini bukan sahaja meraikan pemerintahan 25 tahun Raja Perlis, bahkan menjadi lambang perpaduan dan penghormatan antara institusi diraja dan negeri-negeri di Malaysia.
Tun Wan Junaidi berharap segala atur cara dan istiadat diraja berlangsung dengan lancar dan penuh keberkatan.



