KUCHING: Tuan Yang Terutamanya (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohamad Sanusi, menghadiri Majlis Jamuan Teh sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-78 TYT di sini hari ini.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan, yang tiba sekitar jam 10.30 pagi, disambut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bersama para tetamu kehormat lain.

Turut hadir, Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Bertanggungjawab bagi Majlis Sambutan Perayaan Hari Lahir TYT ke-78 yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, dan dif-dif kenamaan lain.
Pada majlis itu, Tun Wan Junaidi dan isteri turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan hamper kepada golongan asnaf di negeri ini.
Sumbangan ini diserahkan kepada golongan yang memerlukan dari beberapa institusi seperti Taman Seri Puteri, Sekolah Tunas Bakti, Desa Bina Diri Kuching, Rumah Seri Kenangan dan Rumah Kanak-kanak Toh Puan Hajah Norkiah serta penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Bantuan ini terdiri daripada wang tunai sumbangan daripada Kerajaan Sarawak manakala hamper adalah tajaan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) serta PETRONAS.
Jamuan tersebut turut diserikan dengan persembahan kebudayaan serta pemotongan pulut kuning hari jadi Yang Dipertua Negeri serta persembahan hiburan.
Acara jamuan teh ini adalah acara penutupan sambutan perayaan hari lahir rasmi pertama Yang di-Pertuan Negeri Tun Wan Junaidi selepas dilantik untuk menggalas tanggungjawab tersebut selama empat tahun bermula 26 Januari 2024 hingga 26 Januari 2028.



